Al-Baqarah
[2.42] Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
Syukur Alhamdulillah, dapat juga peluang dan kesempatan untuk menulis pada ruangan kali ini. Minta maaf pada diri saya sendiri kerana penulisan saya kali ini sedikit lari daripada tema asal blog saya, walau bagaimanapun insyaAllah ianya masih lagi berada di atas jalan dakwah untuk mengajak diri saya sendiri dan anda semua kembali serta selalu mengingati Allah. Muqaddimah saya kali ini adalah 3 persoalan yang menyerabutkan, membosankan, melucukan atau mungkin memberi pengertian mendalam kepada sesetengah orang yang mahu berfikir iaitu: Pertama - Antara tujuan dan tugas? Kedua.- Antara impian dan kenyataan? Ketiga.- Antara bahagia dan derita? Berkata seorang pujangga, manusia berakal kecil selalu berfikir tentang manusia, manusia berakal sederhana selalu berfikir tentang dunia dan manusia berakal besar selalu berfikir tentang idea. Jadi mana satu pilihan kita atau mana satu kedudukan kita?
Saya ingin mengajak dan membawa anda supaya sama-sama berfikir kesemua persoalan di atas dan seterusnya jika anda boleh berfikir tentang ketiga-tiga persoalan di atas insyaAllah anda mempunyai keseluruhan tahap akal atau pemikiran yang saya nyatakan di atas? Tetapi jauh yang lebih utama dari itu adalah saya ingin mengajak diri saya sendiri dan anda untuk kembali kepada Allah.
(Manusia)Antara tujuan dan tugas? Dalam surah az-zariat ayat 56 Allah berfirman yang bermaksud Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Kemudian Allah nyatakan pula dalam surah dan ayat yang lain iaitu ‘kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan dari kalangan manusia, kamu menyeru kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Bolehkah keseluruhan hidup kita ini kita jadikannya sebagai ibadah kepada Allah semata-mata? Jawapannya sudah semestinya boleh sebab Allah tidak akan membebani hambanya dengan perkara yang hambaNya tidak mampu lakukan. Cuma yang menjadi persoalannya ialah Tidak bolehkah kita selaku manusia dan hamba Allah ini menjadikan keseluruhan hidup kita semata-mata beribadah kerana Allah? Perbezaan soalan di atas adalah bolehkah dan tidak bolehkah, ‘bolehkah’ ini bermaksud arahan Allah itu tidaklah memberatkan hambanya, manakala ‘tidak bolehkah’ itu bermaksud hamba-hambanyalah yang memberatkan dirinya untuk mentaati arahan Allah jadi sebab itulah timbulnya persoalan Tidak bolehkah kita selaku manusia dan hamba Allah ini menjadikan keseluruhan hidup kita semata-mata beribadah kerana Allah? Mungkin anda yang perlu menjawabnya sendiri kerana andalah yang menguruskan hidup anda.
Persoalan seterusnya adalah mengenai Tugas atau dengan kata lain tugas ini diberi nama berdakwah. Untuk penulisan kali ini saya rasa mungkin masih tidak banyak untuk saya menguraikan mengenai tugas berdakwah kerana di sana ada huraian yang sangat panjang untuk dijelaskan cuma sebagai muqaddimah mengenai berdakwah sebelum saya cuba hurai di artikel saya yang lain, saya ingin mengutarakan satu potong hadis nabi saw yang lebih kurang maksudnya ‘tidak menjadi wajib, melainkan dengan sesuatu perkara itu menjadi wajib’. (Sebagai peringatan untuk diri saya yang selalu lupa) sedikit petikan Imam Hassan AlBanna mengenai dakwah sebagai muqaddimah diskusi ini.
ENAM PEGANGAN
1. Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan dia dalam dirinya.
2. Bahagia dan sa’adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.
3. Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahankan penderitaan dan kepapaan.
4. Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada Mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t.
5. Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan, kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan dan perjuangan.
6. Belajarlah menfanakan diri guna kepentingan Cita dan Agama.
Inilah perutusanku kepada saudara-saudara para Mujahidin didalam “Ikhwan Muslimin” yang beriman kepada kemuliaan Dakwah mereka, beriman kepada kesucian Fikrah (Falsafah Hidup) mereka, dan sungguh-sungguh berazam hendak sehidup dan semati dengan Dakwah serta Fikrah mereka: kepada hanya saudara saudara tertentu inilah sahajalah saya mengemukakan kata-kata yang ringkas ini iaitu kata-kata yang herupa arahan-arahan (directives) yang mesti ditunaikan bukan mata pelajaran yang dihafadz dibibir mulut. Oleh itu marilah segera kearah “bekerja” wahai saudara saudara Saduqun, dan segala amalan kamu itu akan dibuktikan oleh Allah, RasulNya, dan oleh orang-orang Mukminin, dan kamu sekalian akan dikembalikan kelak kepada Tuhan Maha Mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi dan yang nyata lalu diterangkannya kepada kamu apa-apa yang telah kamu “Kerjakan”.
Sebenarnya: “ini ialah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutnya dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan yang lain kelak dikelincungkannya kamu dan jalan Allah; itulah amanat yang diwasiatkannya kepada kamu mudah-mudahan kamu terpelihara.”
(Manusia dan Dunia)Antara impian dan kenyataan? Semasa kita kecil dulu bila orang Tanya kita kamu nak jadi apa bila besar nanti, mungkin ada yang akan jawab doktor, jurutera, pensyarah, dan sebagainya. Bila kita dah jadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya orang bertanya lagi lepas tu anda nak buat apa? Kita jawab lagi, kita nak kahwin dengan isteri yang solehah dan cantik, lepas tu kita nak beli kereta, beli rumah, punya anak-anak soleh dan solehah yang ramai, punya cucu dan akhir sekali saya nak mati. Begitu indah impian yang kita bina semata-mata ingin mengecapi kebahagiaan di dunia yang pada sebetulnya kita belum tahu pun sama ada betul ke kita akan rasa bahagia dengan semua itu. Kenyataan dan hakikatnya tidak banyak pun amalan kita dan tidak tahu pun kita sebanyak mana amalan dan pengibadatan kita yang Allah terima daripada kita. Sesungguhnya amalan yang ikhlas sahaja yang diterima oleh Allah.
Hari ini ramai manusia suka mengejar sesuatu yang tak pasti daripada yang pasti, apa buktinya? Yang pasti itu mati dan yang tak pasti itu hidup lagikah kita pada hari esok untuk terus mengejar angan-angan kita?. Kebanyakkan manusia suka membina angan-angan dan impian yang indah sedangkan angan-angannya itu dalam sedar ataupun tidak, ianya tidak lain dan tidak bukan hanyalah ujian yang cuba melalaikan dan melewati masa hidup yang sepatutnya diperuntukkan untuk tugas dan tujuan penciptaan dirinya sendiri. Allah SWT sepertimana yang saya nyatakan dalam huraian pertama soalan saya di atas. Kalau seluruh kehidupan itu dijadikan ibadah tidak apa, tetapi yang berlakunya adalah angan-angannya itu telah melalaikan dirinya daripada menjadikan kehidupan ini mengikut acuan yang dikehendaki oleh Allah. Jadi, sama-samalah kita muhasabah diri kita balik dengan bukan sekadar muhasabah tetapi disusuli dengan penghayatan dan tindakan.
(Dunia) Antara Bahagia dan derita? Persoalan yang sangat subjektif untuk diungkapkan. Sebelum kita pergi lebih jauh izinkan saya bertanya, sebenarnya bahagia dan derita itu adakah suatu perasaan? Atau adakah suatu nama bagi sesebuah tempat? Atau adakah suatu benda? Selalunya antara kayu ukur kebahagiaan itu adalah memiliki harta yang banyak, pangkat yang tinggi, wanita dan segala yang orang lain tidak ada tapi dia ada. Betul ke itu dikatakan bahagia? Apa yang berlaku pada hari ini kita lihat, sebenarnya ramai manusia menuju derita dengan melalui jalan bahagia, dan ada juga manusia menuju kebahagiaan tetapi dengan melalui jalan derita. Yang lebih malang dan minta dijauhkan oleh Allah adalah ada manusia menuju derita dengan melalui jalan derita. Nau’zubillahi min zalik. Antara contoh golongan manusia yang menuju bahagia tetapi terpaksa melalui jalan derita adalah para rasul, nabi, sahabat dan mereka yang berjuang di jalan Allah. Kita tengok saudara-saudara kita di palestin begitu sibuk berjuang mempertahankan agama dan bumi palestin, pada pandangan mata kita mereka sedang menghadapi penderitaan, kerana terpaksa bersusah payah menghadapi semua itu, tetapi jika kita tanya mereka, mereka tak kisah pun dengan semua itu yang pasti Islam dan bumi Palestin mesti dipertahankan, itulah yang membahagiakan mereka. Maksudnya di sini, mungkin tidak keterlaluan untuk saya katakan manusia sebenarnya gagal mencari makna bahagia tetapi cuba menuju bahagia dengan cara yang mereka sendiri pun tak tahu sama ada mereka akan mendapati bahagia atau tidak?
(Idea) Sebenarnya banyak lagi persoalan-persoalan lain yang boleh kita bincangkan mengenai kehidupan dan dunia ini cuma sejauh mana pun pemikiran kita terbang mencari penyelesaian tentang kehidupan ini sedangkan Islam sudah ada jawapannya bagi mereka yang ingin menerimanya, dan sepatutnya memang kita wajib menerimanya, jangan kita lupa kepada tiga soalan yang kita sendiri perlu memberi dan memperingati jawapannya setiap hari:
1. Dari mana kita datang?
2. Kenapa kita di sini (dunia ini)?
3. Ke mana kita selepas ini?
InsyaAllah kita akan cuba bincangkan pula tajuk-tajuk di atas di kesempatan yang lain.
Tidak lain dan tidak bukan segala apa yang saya cuba olahkan ini adalah untuk mengajak anda berfikir dan seterusnya kembali kepada Allah dan ajaran Baginda Nabi SAW. FASTABIQUL KHAIRAT.
Wassalam.
ULAMA' & USTAZ
POLITIKUS
SAHABAT
EX-FALAHIAH
SAHABAT D'GAMIS
TANZIM ISLAM
TEMAN2 ARTIS
Feedjit Live
AKU DIAM KERANA BERFIKIR, AKU BERCAKAP KERANA BERZIKIR
Saturday, April 18, 2009Posted by abusafuan at 4/18/2009 08:13:00 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment