Mahasiswa berdemo tuntut jaminan penempatan

Thursday, November 3, 2011

Hampir 1,000 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan demonstrasi sebagai tanda protes agar kerajaan memberi jaminan penempatan kepada bakal graduan universiti itu seperti yang diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).


Piket semalam yang berlangsung selama lebih kurang empat jam itu menyaksikan ucapan-ucapan menuntut hak penempatan guru untuk graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan oleh UPSI.

Polemik isu ini bermula dengan kenyataan timbalan perdana menteri yang merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengarahkan graduan UPSI "cari kerja lain".

Beliau juga mengesahkan kekosongan jawatan guru di sekolah seluruh negara akan diisi oleh 7,000 guru lepasan GSTT

Kenyataan berkenaan telah menimbulkan kemarahan ribuan graduan dan bakal graduan di UPSI dan kampus-kampus lain.

UKM 4: Najib patut terima keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Datuk Seri Najib Razak perlu menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pihak universiti tidak berhak mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar kerana mencabul hak kebebasan bersuara mereka.


Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah itu yang mengatakan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai tidak sah serta melanggar Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu dirayu kerana ia menjadi ujian awal kepada Perdana Menteri yang telah mengaku mahu melaksanakan transformasi politik dan pendemokrasian negara, lapor Roketkini.

Beliau memuji keberanian Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus dan Linton Albert yang menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluruhan Perlembagaan.

Menurutnya, keputusan bersejarah itu penting dan tepat pada masanyanya apabila demokrasi dan hak asasi di Malaysia telah sekali lagi diserang oleh tokoh-tokoh seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dengan kenyataan-kenyataan bahaya mereka yang berbau konspirasi.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada Najib dan kabinetnya bersedia untuk melangkah ke depan dengan menyokong keputusan majoriti Mahkamah Rayuan, dengan menunjukkan semangat dan minda pendemokrasian serta transformasi politik,” katanya.