Tazkirah Dhuha II

Wednesday, July 21, 2010

Al-Quran sebagai pembela:


Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah s.a.w. telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah s.a.w. memberitahu tentang kelebihan Al-Quran." Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: "Belajarlah kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya. "Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Quran : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari." Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu: "Adakah kamu Al-Quran?" Lalu Al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah s.w.t. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya. Pada kedua ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Quran."

Kekuatan prinsip Islam dalam memperbaiki umat

Monday, July 19, 2010

Dengan hanya menyematkan sifat patuh tadi ke dalam hati mereka maka bolehlah saudara-saudara menjadikan mereka golongan orang yang melaksanakan keadilan, kebenaran dan menjadikan mereka menjauhi segala kerja yang haram di dunia dengan dorongan takwa kepada Allah dan dengan perasaan bertanggungjawab di hadapan Allah pada hari kiamat kelak, juga menjadikan mereka golongan yang senang hati dalam memberikan segala pengorbanan yang mulia dengan dorongan patuh kepada Allah, Rasul dan agamanya.

Sesungguhnya orang-orang bukan Islam itu mempunyai nilai-nilai yang berbeza dan tempat patuh yang berlainan yang dijadikan asas akhlak mereka. Jadi, misalnya jika saudara-saudara mahu menanamkan perasaan kasih kepada punca-punca patuh kepada yang lain daripada Allah, Rasul dan agamanya di kalangan umat Islam, maka saudara-saudara memerlukan masa selama lima puluh tahun untuk menjayakan proses ini, iaitu untuk menukarkan umat Islam itu kepada yang bukan Islam.

Dan saudara-saudara juga perlu kepada lima puluh tahun yang lain lagi jika saudara-saudara mahu menjadikan mereka satu bangsa barat yang sempurna. Sebelum tempoh ini, saudara-saudara tidak berupaya menanamkan di kalangan mereka akhlak kebangsaan yang saudara-saudara dapati dan gemari pada bangsa-bangsa barat.

Peristiwa Israk Mikraj

Wednesday, July 14, 2010

"Dan ini jalanKu yg lurus, kamu ikutilah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan (yg lain), nanti kamu berpecah dari jalanNya ....." (Al-An'aam:153)


Peristiwa Israk Mikraj

(10 Julai 2010, bersamaan 27 rejab 1431)

1. Sebelum Israk dan Mikraj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: