HIDAYAH ALLAH

Thursday, May 7, 2009



Kali ini terasa berat pula untuk menulis, walau bagaimanapun Alhamdulillah jari jemari ini terus saja menekan keyboard komputer dengan dipandu akal yang waras, ilmu yang cetek dan insyaAllah Iman yang sejahtera bagi terus menyampaikan buah-buah pendapat dan fikiran saya. Tiba-tiba saja saya terfikir, sungguh berbahagia dan beruntungnya manusia yang sedang, dan telah diberi hidayah oleh Allah. Lebih beruntung lagi jika mereka terus istiqomah dengan hidayah Allah sehingga akhir hayat mereka. Allahuakbr!

Sedikit pengalaman saya untuk dikongsi bersama dengan para pembaca yang budiman. Di salah sebuah masjid di Pasir Gudang, Semalam, lepas saja mendengar kuliah maghrib yang telah disampaikan oleh salah seorang ustaz haraki, iaitu Ustaz Nizamuddin berkenaan hinanya dunia di sisi Allah menggunakan kitab Imam Al_ghazali yang bertajuk Penenang Jiwa , kami terus saja solat Isyak secara berjemaah, disusuli dengan tahlil dan doa selamat yang dikepalai oleh ustaz Nizam sendiri. Tidak berapa lama kemudian, selepas saja selesai berdoa datang dua orang pemuda salah seorang darinya Islam dan salah seorang lagi belum lagi Islam. Rupa-rupanya pemuda yang belum Islam itu datang kepada Ustaz Nizam kerana untuk melafazkan kalimah Syahadah, Allahuakbr. Tidak disangka pada malam ini ada seorang hamba Allah yang telah dipilihNya untuk menerima cahaya Islam, suasana di dalam masjid tiba-tiba saja menjadi sayu, gembira dan bersyukur ke hadrat Allah. Para ahli jemaah yang mengerumuni Ustaz dan pemuda tersebut diam saja sambil mendengar penerangan Ustaz Nizam kepada pemuda tersebut. Kalimah Syahadah pun diajar oleh Ustaz kepada pemuda tersebut. Alhamdulillah pemuda tersebut telah pun berjaya diIslamkan. Cuma satu ayat ustaz yang tidak dapat saya lupakan, yang disampaikan kepada pemuda tersebut adalah ‘kamu sekarang telah bersih dari segala dosa umpama bayi yang baru lahir’ ayat ini telah menyentuh dan memukul hati saya, supaya insaf dan sentiasalah bertaubat kepada Allah memohon keampunan kepadaNya. Kadang-kadang walaupun saya telah lama Islam, sebenarnya pemuda itu lebih suci daripada saya. Malunya diri ini dihadapan Allah!

Selain itu juga saya ada satu lagi cerita yang saya dapat dari kawan saya, mungkin boleh digunakan sebagai metod dakwah kalau anda menghadapi keadaan seperti ini juga. Suatu hari, Ada seorang lelaki pergi ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambut dan janggutnya. Apabila barber itu memulakan tugasnya, mereka pun berborak dan bercakap mengenai banyak perkara. Tapi bila mereka mula berbicara mengenai Allah, barber itu pun berkata, saya tak percaya Allah itu wujud, kenapa kamu kata begitu? Tanya si lelaki tadi. Cuba kamu keluar di tengah jalan itu dan tunjukkan pada saya bahawa Allah itu wujud. Kalau betul Allah wujud, kenapa ramai sangat orang sakit kat luar tu? Kenapa masih ada kanak-kanak yang terbiar? Kalau betul Allah wujud dah tentu tiada kesakitan dan keperitan hidup dalam dunia ni. Saya tak dapat bayangkan Allah yang Maha Penyayang boleh membenarkan semua ini berlaku? Si lelaki itu pun berfikir sejenak. Tapi dia tidak memberi sebarang jawapan kerana tidak mahu memulakan pertengkaran. Selepas barber itu menghabiskan tugasnya, si lelaki tadi pun pergi. Selepas beberapa langkah, si lelaki tadi ternampak seorang lelaki berambut panjang, selekeh, kotor dan janggut yang tidak terurus. Si lelaki tadi pun berpatah balik dan pergi semula ke kedai gunting rambut tadi dan berkata “kamu tahu tak yang sebenarnya barber juga tidak wujud!” kenapa kamu kata macam tu? Sedangkan saya baru saja gunting rambut kamu tadi.” Kata barber. Tidak! Kata si lelaki tadi. Kalau barber wujud. Dah tentu tidak ada orang yang berambut panjang, tidak terurus dan kotor macam lelaki di tepi jalan itu. Ah! Barber memang wujud! Lelaki tu jadi macam tu sebab dia tak datang pada saya untuk menggunting rambutnya . kata Barber. Tepat sekali. Kata si lelaki tadi. That’s the point Allah juga wujud. Itulah yang terjadi keperitan & penderitaan jika manusia tidak mengingati Allah dan kembali pada Allah untuk memohon pertolongan.

Antara cara untuk mendapatkan hidayah Allah atau kita hendak hidayah Allah itu sampai kepada kita, kita kenalah menyediakan bekasnya. Apa dia? Iaitu Bekas untuk kita terima hidayah Allah adalah amalan yang ikhlas. Susah pula nak jelaskan maksud ikhlas ni. Tidak mengapa, yang penting kita buat saja amalan-amalan baik yang tidak menyalahi syariat Allah dan pastikan setiap amalan kita itu semata-mata kerana Allah. Rezki, habuan dan ganjaran apa sekalipun biarlah Allah saja yang menentukanNya.

Saya akhiri tulisan saya dengan sepotong ayat quran yang bermaksud:

Al-Baqarah
[2.42] Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.

0 comments:

Post a Comment