Jadikan laporan audit KPI tolak BN

Thursday, October 27, 2011

Harakahdaily KUALA LUMPUR, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS menggesa rakyat di negara ini menjadikan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk menilai kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.


Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, daripada Laporan Ketua Audit Negara 2011, didapati terdapat banyak kelemahan, kepincangan, ketirisan serta kepincangan dalam projek-projek pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

"Di sebalik pembentangan Bajet ‘gula-gula’ pilihan raya 2012, yang dianggap ramai sebagai bajet rakyat kerana banyak peruntukan 'one off' untuk rakyat, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menceritakan segala-galanya.

"Tidak hairanlah, Laporan Ketua Audit Negara 2010 gagal dibentangkan pada masa yang ditetapkan iaitu semasa Bajet 2011 tempo hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan bahawa RM 160.7 juta yang telah diululuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina 300 makmal komputer, namun hanya 2 buah makmal sahaja yang siap sementara peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan.

Kementerian Sumber Asli dan alam Sekitar pula mencatatkan pembelian barangan yang jauh lebih mahal dari harga sebenar.