Hijrah Rasulullah - Sirah dan Pengajaran

Tuesday, December 7, 2010

Tatkala menyingkap sirah Rasulullah, kita sudah tentu akan melayari kisah hijrah baginda, yang merupakan suatu episod penting dan menjadi titik tolak dalam penerusan dakwah Islam di muka bumi ini. Perjalanan baginda dari Kota Makkah ke Kota Madinah 1428 tahun dahulu, dicatatkan dalam sejarah, dilingkari dengan seribu satu dugaan yang hujungnya memberi hikmah dan pengajaran berguna buat kita, ummatnya di akhir zaman.

Kitab-kitab sejarah seperti sirah Ibn Hisham, sirah Sheikh Ramadhan al-Buti dan lain-lain telah memberi catatan dan kronologi hijrah baginda bersama sahabatnya dengan penjelasan dan huraian yang cukup berjela. Namun, apa yang lebih dituntut bagi kita di samping menyelusuri sejarah tersebut adalah memahami dan mengkaji hikmah yang tersembunyi di sebaliknya.

Hikmah utama yang seharusnya menjadi pedoman buat kita adalah memahami konsep hijrah itu sendiri. Hijrah yang disebutkan dalam sirah baginda, adalah menjurus kepada perpindahan secara fizikal baginda bersama mereka yang setia bersamanya dari Kota Makkah, suatu tempat yang penuh dengan kejahilan dan kerosakan ke Kota Madinah Al-Munawwarah , lokasi yang menjanjikan medan dan pusat penyebaran Islam yang strategik.

Keadaan yang genting dan mencengkam ketika itu menuntut kepada baginda dan sahabat untuk berhijrah. Ia memberi gambaran tentang suatu konsep untuk berpindah atau beralih dari sesuatu yang negatif kepada sesuatu yang lebih baik atau positif. Kita tidak diminta untuk turut berhijrah secara fizikal sepertimana yang baginda lakukan kerana baginda sendiri telah mengisyaratkan dalam hadithnya:

'Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan Kota Makkah, tetapi hijrah yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia'.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berfikir sejenak akan kondisi kita sekarang dan terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa dan turut menjadikan ulang tahun hijrah yang tiba ini sebagai batu loncatan untuk merubah diri ke arah yang lebih baik. Ini juga bertepatan dengan semangat yang terkandung dalam pengertian 'hijrah' itu sendiri seperti yang terungkap dalam dua potong hadith berikut yang bermaksud:

'…dan orang-orang yang berhijrah itu pula ialah jenis orang yang meninggalkan perlakuan atau perbuatan yang dilarang oleh Allah'.

Juga di sebut dalam tarikh al-Islam, Rasulullah dalam perjalannya ke Madinah, telah membina sekian buah masjid dengan tangan baginda sendiri. Antaranya ialah Masjid Quba’, institusi masjid pertama yang didirikan dalam Islam, menjadi tempat baginda bersolat selama empat hari. Setelah itu, baginda juga telah membina masjid di Bani Salim bin Auf, masjid yang merekodkan solat Jumaat dan khutbah pertama didirikan oleh baginda. Akhirnya taktala tiba di Madinah, perkara pertama yang baginda lakukan adalah memilih lokasi yang berkat dan seterusnya membina masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Nabawi.

Ini semua menunjukkan kepada kita bahawa masjid adalah suatu institusi yang penting di sisi Islam, dan ibadah dalam Islam semuanya bertujuan untuk membersihkan diri dan akhlak selain menjadi simbol perpaduan sesama Muslim. Manakala solat berjemaah dan solat Jumaat serta hari raya memberi suatu gambaran terhadap kekuatan komuniti Islam dan perpaduan di kalangan mereka. Hari ini kita melihat betapa masjid-masjid kian lesu dan tidak lagi berupaya menjadi pemangkin kepada kesepaduan umat Islam, yang antara lainnya disebabkan oleh sikap umatnya sendiri yang memandang masjid hanya sebagai tempat untuk menunjuk muka ketika solat Jumaat dan hari raya. Tidak kurang juga yang memandang masjid sebagai tempat untuk diziarahi ketika berlakunya kematian dan majlis pernikahan. Lantas, sikap acuh tak acuh umat Islam itu menyebabkan masjid pada hari ini menerima nasib yang serupa dengan gereja-gereja, yang tidak lagi menjadi tempat kegemaran untuk dikunjungi oleh umatnya.

Lantas, saya ingin menyeru diri sendiri dan rakan-rakan lain agar kita mendekatkan hati kita pada masjid dengan sentiasa bersolat berjemaaah di dalamnya dan beriktikaf walaupun hanya seketika. Barulah kemudian kita akan dilihat oleh Allah sebagai hambanya yang berkualiti di sudut iman kita kepadaNya, bertepatan dengan firmanNya:

‘Hanyasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk’.

Sebagai bonus, dengan mendaftarkan diri sebagai rakan masjid, kita juga dikhabarkan oleh Rasululllah, akan digolongkan dalam salah satu golongan daripada tujuh golongan yang bakal mendapat lindungan di hari qiamat, di mana tiada perlindungan yang available ketika itu selain perlindungan daripada Allah. Ketika itu, akan tersenyumlah mereka yang ketika di dunia sering mengunjungi rumah Allah dan akan terlihatlah juga tangisan-tangisan insan, lantaran peyesalan yang tiada hujungnya.

Itu semua adalah secebis dari hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik kisah hijrah baginda. Seharusnya bagi kita untuk terus mencari banyak lagi pengajaran yang ada dari insan yang bernama Muhammad, suri teladan bagi kita dalam menempuhi liku kehidupan fana di dunia ini….

0 comments:

Post a Comment