Memahami Realiti Mad'u

Friday, May 21, 2010

Kita hendaklah memahami realiti muslimin yang menjadi medan dakwah kita (di sini kita hanya membincangkan mengenai urusan mendakwah kaum muslimin supaya kembali kepada Allah). Ini kerana tuntutan sekarang ialah memindahkan mereka dari realiti hidup yang menguasai mereka pada hari ini.

Mereka hidup dengan kefahaman yang silap, malas beramal untuk Islam, bersikap keterlaluan dan lain-lain. Kita hendaklah memindahkan mereka kepada suasana kehidupan yang baru; kehidupan yang memahami Islam dengan kefahaman yang lengkap sempurna sebagaimana yang dibawa oleh Rasulallah s.a.w..

Kita juga perlu memindahkan mereka kepada memahami tuntutan Islam yang sempurna dan memahami cara merealisasikannya menurut kaedah yang paling sempurna dan betul. Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat kita, kita akan mendapati bahawa kelemahan iman atau kelumpuhan iman di jiwa, tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini.

Ia juga merupakan faktor utama yang membolehkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslim sebagai kudatunggangan mereka untuk memerangi Islam; secara mereka sedari atau tidak. Janganlah diharapkan kesedaran, tindakan, amal atau hasil yang baik untuk Islam daripada mereka ini, melainkan setelah iman dibangkitkan dari dalam jiwa mereka terlebih dahulu.

Dengan itu iman akan mendorong mereka kepada mengenal Allah dan memahami Islam, beramal dan berjuang untuk Islam serta mempertingkatkan diri kepada martabat para ‘amilin yang salih. Mungkin berfaedah kalau kita peringatkan di sini bahawa beriltizam dengan tertib dalam menaiki tanggi menuju martabat para ‘amilin adalah suatu yang pasti dan maha penting. Ini kerana tanpanya boleh mengakibatkan kemunduran, kejatuhan lau mengambil sikap berdiam diri dan duduk berpangku tangan. Kita akan mulakan dakwah dengan menyeru seorang yang lalai.

Kemudian beransur-ansur mempertingkatkannya dari satu marhalah ke satu marhalah. Kita sebutkan berdakwah kepada golongan ini di sini adalah sebagai menjelaskan bagaimana memulakan dakwah dengan golongan ini. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, terdapat individu yang baik dan lebih mudah menerima dakwah. Orang yang seperti inilah yang patut diberikan keutamaan demi menjimatkan waktu dan usaha. Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah s.w.t dan mentaati perintah-Nya.

Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur. Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar.

Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.

Dalam banyak kes, ketika usaha membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur dilakukan, mereka tidak mahu bangun kerana sedang enak tidur dan tidak mahu diganggu. Ini kerana dia masih tidur dan belum lagi sedar. Jika dia benar-benar sedar dari tidurnya dan melihat api yang sedang membakar, nescaya dia bersegera menyelamatkan diri.

Kata-katanya bahawa dia telah sedar tidak boleh dipercayai sepenuhnya kecuali apabila diikuti dengan tindakan menjauhkan diri dari api itu. Demikianlah sikap daie terhadap mad’unya (orang yang diseru). Dia mesti bersabar di dalam usahanya menyeru mereka kepada Islam. Dia mesti sanggup menghadapi tindak balas mad’unya seperti perbuatan jahat dan cercaan. Dia mesti mengharapkan balasan usahanya daripada Allah dan mengikuti jejak langkah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Baginda menyeru menusia dan terdedah kepada gangguan dan cercaan. Baginda tetap bersabar dan terus meneruskan dakwah sambil berdoa yang bermaksud: “Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengerti”. Di dalam pengertian ini al-Iman asy-Syahid Hassan al-Banna berkata:
“Jadilah kamu ketika menyeru manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu danvdia menggugurkan buah kepada mereka”.

Dakwah Fardiah ~ Us. Mustapha Masyhur

0 comments:

Post a Comment