SALAM EIDULFITRI KEPADA SEMUA UMAT ISLAM

Thursday, September 17, 2009

Assalamua’laikum

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Bagi mereka yang bertaqwa dan merasa kemanisan beribadat dalam bulan Ramadhan ini pasti akan merasa sedih, pilu, sebak dan bimbang pemergian Ramadhan nanti. Bimbang kerana takut tiada lagi kesempatan untuk berjumpa dengan Ramadhan akan datang yang telah mendidik kita untuk mengenal erti perjuangan dan pengorbanan. Lebih-lebih lagi kita sebagai pendokong agama Islam yang pada kita terpikul amanah yang sangat berat. Sahabat bertanya kepada Rasulullah adakah bila mana berlalunya Ramadhan maka itu adalah suatu musibah yang besar kepada manusia? Rasulullah menjawab : Ya.. Justeru ini menunjukkan bahawa Ramadhan yang kita gelar sebagai Madrasah Tarbiyah atau University Of Tarbiyah ini telah banyak mengajar kita tentang kehidupan sebenar dan rugilah bagi mereka yang tidak mengambil kesempatan untuk meningkatkan ibadah kepada Allah dalam erti kata memenuhi maksud sebenar hidup kita diutuskan sebagai hamba.

Di malam 1 Syawal sehingga menunaikan solat sunat eidulfitri pada 1 Syawal nanti kita diingatkan pula oleh Rasulullah saw supaya memperbanyakkan bertakbir dan bertahmid iaitu membesar dan memuji Allah tanda kesyukuran kita kepada Allah di atas segala nikmat yang tidak terhingga dikurniakan kepada kita terutamanya nikmat Iman dan nikmat Islam. Dengan kedua-dua nikmat ini banyak nikmat-nikmat lain yang telah menyusul bersamanya datang kepada kita. Baik nikmat sihat, berilmu, masa lapang, berharta dan sebagainya. Jadi sebagai hamba, wajib ke atas kita untuk mensyukurinya. Bukan menjadikan segala nikmat ini adalah antara jalan untuk berlaku curang kepada Allah dengan mengkhianati dan melakukan maksiat kepadaNya.

Ramadhan mengajar kita erti sabar dan insaf. Dengan sabar dan insaf ini telah meniggikan rasa syukur kita kepada Allah. InsyaAllah dengan rasa syukur yang tinggi inilah mampu menjadikan kita hamba Allah yang bertaqwa sebagaimana harapan kita dan tuntutan Allah dalam menjayakan misi ibadah puasa ini. Berlapar, dahaga dan menahan nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa di siang hari, bermunajat di dinihari, berterawih di malam hari, dan setiap hela nafas dalam Ramadhan ini telah menjadikan kita rasa kebersamaan dengan Allah dan mengajar kita erti HAMBA yang sebenar.

Selepas menunaikan solat sunat eidulfitri Di pagi hari raya nanti kita digalakkan juga untuk kunjung mengunjung ke rumah saudara -mara, jiran-jiran tetangga dan sahabat-sahabat untuk saling menghubungkan silaturrahim antara satu sama lain sebagai tanda meraikan kemenangan serta kesyukuran selepas sebulan menunaikan ibadah puasa. Kita juga diingatkan untuk saling bermaaf-maafan di atas segala dosa dan noda pada hari raya nanti. Selepas berlalunya Ramadhan ini nanti kita mengharapkan juga kita seumpama seorang bayi yang baru lahir ke dunia bersih dari segala dosa dan noda. InsyaAllah.

Dalam kesempatan ruang dan peluang yang ada ini dan masih lagi diizinkan oleh Allah untuk hidup dan ingat-mengingati antara satu sama lain, di sini saya mengambil kesempatan ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA EIDULFITRI MAAF ZAHIR & BATIN kepada seluruh umat ISLAM di dunia ini sama ada yang saya kenal ataupun tidak kenal. Kepada sahabat-sahabat di perantauan jangan bersedih jika tidak dapat beraya bersama keluarga anggaplah ini sebagai tarbiyah Allah untuk kita. Saya juga ingin menjemput sahabat-sahabat semua berkunjung ke rumah saya pada hari raya ini nanti.

Sekian….. abusafuan.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment