Sangat Jauh Jaraknya

Monday, March 29, 2010

Adalah menjadi suatu kewajipan kita untuk tidak membiarkan umat manusia terus menerus dikelirukan. Kita berkewajipan memberi pengertian kepada mereka bahawa Islam itu bukanlah hanya suatu aliran fikiran atau isme mengenai reality kehidupan manusia, seperti isme-isme yang lahir sekarang (umpamanya sosialisme, komunisme, kapitalisme dll); sebab Islam bukanlah hanya sekadar suatu system yang mengenai realiti manusia sahaja, seperti halnya isme-isme bikinan manusia. Islam adalah Islam. Islam dengan keperibadiannya tersendiri dan konsepnya yang bebas dan tidak terikat kepada mana-mana jua konsep duniawi. Islam sanggup dan mampu melahirkan suatu realiti yang lebih baik daripada yang diimpikan oleh umat manusia melalui isme-isme bikinan manusia sendiri itu. Islam yang tinggi nilainya, yang suci dan murni, terpancar indah dari sumber asli: langsung.daripada Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung.


Apabila kita mengerti dan faham akan hakikat Islam seperti yang kita huraikan tadi maka secara otomatis pengertian dan faham kita itu akan memberikan kekuatan dan daya untuk mengemukakan Islam kepada umat manusia dengan cara terbuka dan suara yang nyaring. Pengertian dan fahaman itu memberi keyakinan bahawa apa yang ada pada kita ialah kebenaran mutlak dan apa yang masih dipegang oleh manusia jahiliyah itu ialah kebatilan. Pengertian dan fahaman itu juga akan menimbulkan rasa kasihan kita melihat umat manusia yang sedang hidup di dalam kesesatan dan timbul rasa berkewajipan untuk mengajak dan membimbing mereka ke jalan kebenaran; akan timbul pula rasa simpati yang mendalam, yang menggamit kita untuk berusaha menyampaikan seruan hidayah Ilahi kepada mereka.

Kita jangan hanya cukup dengan usaha mendakwahkah Islam kepada umat manusia dengan cara berbisik-bisik sahaja dan jangan bersikap bertele-tele dalam menghentam syahwah dan konsep mereka yang menyeleweng itu. Kita mesti berterus terang memberitahu mereka dan mengatakan: "dasar jahiliyah yang tuantuan sedang hayati ini adalah najis dan, Allah hendak mensucikan tuan-tuan. Realiti hidup tuan-tuan adalah kotor maka Allah mahu membersihkannya.

Mutu hidup tuan-tuan sangat rendah oleh sebab itu Allah hendak mengangkatnya. Tuan-tuan sekarang sedang hidup dalam penderitaan, kepicikan dan kesempitan, maka Alla mahu meringankan beban itu dan Islam akan mengubah konsep hidup tuan-tuan, realiti dan nilai tuan-tuan dan akan mengangkat darjat hidup tuan-tuan ke suatu taraf yang tuan-tuan tidak mungkin mencapainya melalui realiti hidup jahiliyah ini. Seandainya tuan-tuan tidak dapat mengerti tentang konsep ini kerana disekat oleh musuh-musuh Islam yang bekerja tidak berhenti-hentinya membanting tulang, menghalang dari wujudnya hidup cara Islam itu, maka ketahuilah bahawa kami telah dapat melihatnya melalui hati kami, terpahat indah melalui Al-Quran kami dan melalui sejarah dan konsep kami bagi menempuh zaman depan yang gemilang,yang tidak kami ragui sedikit pun.

Begitulah hendaknya kita katakan kepada umat manusia pada ketika kita mengemukakan Islam kepada mereka; kerana ini adalah suatu hakikat dan kerana inilah bentuk percakapan yang Islam mula-mula kemukakan kepada manusia dahulu, baik di Semenanjung Arabia, di Parsi atau di Roma! Dan di mana-mana sahaja Islam menyampai dakwahnya.

Islam mengemukakan konsep yang jelas kepada mereka, sebab tiada apa rahsia pun yang hendak disembunyikan oleh Islam terhadap semua peringkat umat manusia. Ia selalu bersikap terbuka dan berterus-terang. Ia berhadapan dengan umat manusia dengan menggunakan bahasa yang penuh cinta dan rasa kasih mesra; kerana bahasa seperti itu adalah secebis daripada hakikat yang tidak dapat dipisahkan daripada tabiat Islam. Islam akan memberitahu mereka bahawa tiada apa pun yang rahsia dan sulit (confidential) di dalam ajaran Islam, kerana memang begitulah Islam itu. Islam tidak mengatakan kepada mereka bahawa ia hanya akan melakukan perubahan kecil sahaja di dalam kehidupan manusia itu, atau pun bahawa ia adalah sama dan serupa sahaja dengan sistem yang-telah menjadi kebiasaan mereka, seperti banyak kedapatan zaman sekarang pada setengah kalangan orang tertentu yang telah berkata demikian di dalam menjalankan dakwahnya kepada umat manusia.

Ada orang yang tidak segan-segan menyebutdan bercakap-cakap tentang DEMOKRASI ISLAM, SOSIALISME ISLAM dan ada pula yang tergamak mengatakan bahawa realiti ekonomi dan tata cara perundangan yang ada sekarang di dalam masyarakat jahiliyah itu tidak akan diapa-apakan oleh Islam, kalau ada perubahan pun hanya sebahagian kecil sahaja, dan berbagai-bagai cara pemalsuan dan pengeliruan terhadap hakikat Islam, yang dibuat secara berbisik bisik dan berpandukan hawa nafsu.

Bukan demikian halnya, sebab peralihan daripada suasana jahiliyah yang sedang mempengaruhi dunia sekarang kepada suasana Islam itu adalah suatu bentuk peralihan dan perpindahan yang SANGAT JAUH JARAKNYA. Konsep hidup Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep hidup jahiliyah, baik dulu mahupun sekarang, bahkan untuk selama-lamanya. Penderitaan yang dialami oleh umat manusia di bawah belenggu sistem jahiliyah sekarang ini tidak dapat diubati dan diatasi dengan hanya mengadakan perubahan kecil sahaja. Umat manusia tidak akan dapat diselamatkan daripada bahana penderitaan itu kecuali melalui suatu proses pendedahan yang menyeluruh: mesti melalui suatu peralihan yang jauh jaraknya daripada realiti cara jahiliyah; iaitu peralihan daripada mematuhi konsep dan perundangan bikinan makhiuk yang lemah dan hina kepada konsep dan perundangan ciptaan KHALIQ yang gagah perkasa.

Ini adalah suatu hakikat; suatu hakikat yang mesti dimaklumkan kepada umat manusia dengan terbuka dan nyaring, supaya umat manusia tidak terbiar menderita kesengsaraan terus menerus.

Mungkin orang tidak berapa suka dan merasa keberatan menerima hakikat ini di peringkat permulaan, dan malah mungkin mereka akan mengejek dan mencemuhnya. Jangan merasa cemas dan gentar dengan sikap seperti itu. Dahulu pun umat manusia telah pernah bersikap seperti itu terhadap Islam. Waktu Nabi Muhammad SAW mula-mula mengetuk pintu hati kaumnya, konsep dan akidah Islam itu diejek orang, dinista pintu hati dicaci maki. Mereka marah dan memberontak kerana Muhammad SAW telah menghina konsep hidup mereka, telah

memperkecilkan tuhan-tuhan bikinan tangan mereka, telah mencela realiti hidup mereka, telah meninggalkan adat resam mereka dan menghayati suatu bentuk kehidupan baru bersama beberapa kerat sahabatnya yang boleh dihitung dengan bitangan jari.

Tetapi apa telah berlaku kemudiannya? Ternyata umat manusia datang berduyun-duyun dan berbondong-bondong mendapatkan kebenaran ini, kebenaran yang dahulunya mereka ejek dan mereka maki hamun.
Firman Allah:

( َ كَأنَّهُمْ حُمُرٌ مُّسْتَنفِرٌَة ( 50 ) َفرَّتْ مِن َقسْوَرَةٍ ( 51

Maksudnya: “Seolah-olah mereka itu keledai yang kabur dengan ketakutan. Yang

lari dari singa.”

(Al-Muddatststir: 50-51)

Kebenaran yang mereka musuhi habis-habisan dan mereka ganggu para penganutnya yang masih kecil jumlahnya di Mekah dan mereka datang memeranginya apabila ia mula mengorak jejak baru dan bertapak di Madina. Dakwah ini tidak dimulakan di dalam suasana dan situasi yang lebih baik daripada suasana dan situasi yang ada sekarang. Ia tidak dihiraukan orang langsung

pada hari-hari permulaannya. Ia terkurung di lorong-lorong gelap dan sempit Mekah sahaja dan terhad dalam kalangan orang bawahan dan miskin, jauh dari kalangan pembesar dan hartawan yang berpengaruh. Pada zamannya, ia merupakan suatu benda yang aneh pada selera orang ramai, tersisih dan tersepit antara dua gergasi dunia, empayar-empayar besar yang kesemuanya menentang konsep yang dibawanya.

Namun demikian dakwah ini cukup kuat, seperti ia kuat juga pada hari ini pun, dan akan tetap kuat juga besok dan sepanjang zaman sebab unsur-unsur kekuatan memang ada terpendam di dalam tabiat akidahnya sendiri. Sebab itulah ia mampu berjalan dan bergerak dalam keadaan alam dan iklim yang bagaimana buruk sekalipun. Rahsia kebenarannya tersembunyi dalam bentuk kesederhanaan yang menjadi asas bagi gerakannya. Kekuatannya juga tersembunyi di dalam tabiatnya yang selaras dengan fitrah dan juga tersembunyi di sebalik kemampuannya membimbing umat manusia mendaki puncak kemajuan, dalam segenap peringkat hidup manusia, baik dalam tahap mana sekalipun manusia itu berada, balk di lapangan ekonomi, sosial dan kebudayaan. Rahsia kekuatan dan kejayaannya juga berpunca dari sikap berterus terang dalam menghadapi jahiliyah yang lengkap dengan segala kekuatan dan persenjataan.

Tiada yang disembunyikannya walaupun setengah perkataan daripada konsep dan akidahnya.

Ia tidak menghadapi jahiliyah dengan sikap orang yang minta dikasihani, ia tidak pernah mendodoi jahiliyah supaya ia terlena lalu memukulnya secara curi. Malah ia tetap menyuarakan kebenaran dengan nyaring di samping memberi kesedaran kepada manusia bahawa ia membawa kebajikan, rahmat dan berkat.Allah yang menciptakan manusia Maha Mengetahui tentang tabiat pertumbuhan mereka dan isi hati mereka dan bagaimana pula hati itu mudah terbuka bila diketuk dengan suara kebenaran, apabila diajak dengan terus terang.

Sesungguhnya jiwa manusia itu memang mempunyai cukup persediaan untuk beralih daripada suatu keadaan kepada suatu keadaan, daripada memegang suatu konsep kepada suatu konsep yang lain; bahkan kadang-kadang lebih mudah ia beralih secara menyeluruh daripada beralih secara sedikit-sedikit, seperti juga setengah jenis jentera itu lebih mudah di overhaul terus daripada hanya membetulkan skru-skru kecil sahaja. Memang ganjil sekali kalau perpindahan itu tidak dilakukan sekaligus, sebab tidak akan dapat membuat perubahan apa-apa; mungkin lebih baik bertahan atas sistem yang ada sahaja, yang sekurang-kurangnya sudah diketahui selok beloknya.

Kita dapati juga orang-orang tertentu yang mengemukakan Islam kepada umat manusia dalam bentuk menangkis serangan tertentu yang dihadapkan oleh pihak musuh. Di antara alasan yang mereka kemukakan ialah kononnya sistemsistem moden sekarang itu tidak sedikit pun menyentuh keutuhan Islam dan tidak menjejaskan kesucian Islam dan Islam pun tidak akan mengubah suatu apa pun dari hasil tamaddun baru ini.

Suatu contoh sikap mempertahankan diri yang paling memalukan! Islam tidak mengambil sandaran sedikit pun daripada sistem jahiliyah yang serba janggal itu. "Tamaddun" yang mengkagumkan banyak orang tidak lain daripada sistem jahiliyah itu sendiri, sistem yang terlalu rendah mutunya berbanding dengan Islam. Keadaan hidup yang lebih selesa di setengah negara

jahiliyah tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatakan bahawa sistem jahiliyah itu lebih baik daripada sistem Islam; sebab sesungguhnya kemunduran yang menimpa negara-negara yang dipanggil negara-negara Islam sekarang itu bukanlah kerana sistem Islam yang dipakai oleh negara itu, malah justeru kemunduran itu berpunca kerana negara-negara itu meninggalkan Islam, bukan kerana mereka menjadi orang yang menganut Islam. Islam tetap akan mengemukakan hujahnya; dengan mengatakan bahawa ia datang untuk mengubah realiti jahiliyah itu, bukan untuk mengukuhkannya dan ia datang untuk menarik umat manusia keluar dari kancah jahiliyah yang berselimutkan 'tamaddun'.

Kita janganlah menyerah kalah dan mengangkat bendera putih dengan cara mencari-cari dalih untuk membuat penyesuaian antara Islam dengan sistem secular sekarang, juga dengan berbagai isme sesat yang tumbuh dari tapak semaian jahiliyah. Sekali kita menolak sistem jahiliyah maka terus menerus kita menolaknya dari mana sekalipun ia tumbuh di barat atau di timur. Kita menolaknya berdasarkan prinsip bahawa konsep kita sendiri lebih menjamin kebahagiaan umat manusia.

Sekian..

0 comments:

Post a Comment