Khaibar adalah sebuah kota besar dikelilingi tembok berbenteng dan taman-taman, jaraknya ke Madinah enam puluh (60) atau lapan puluh (80) batu di sebelah utara, tapi sekarang sebagai sebuah kampung dengan cuacanya yang kurang baik untuk kesihatan.
Faktor kejadian:
Setelah Rasulullah terasa aman terhadap salah satu dari tiga sayap terkuat Barisan Bersekutu dan terasa selamat sepenuhnya, khusus selepas perjanjian perdamaian al-Hudaibiah, kini Rasulullah mengatur perkiraannya dengan dua sayap yang masih bertenaga: Kaum Yahudi dan Qabilah-qabilah Najdi, agar perkiraan ini akan membawa kepada keamanan dan kesejahteraan serantau yang menyeluruh, seterusnya orang Islam boleh cuci tangan dari peperangan berdarah yang berterusan itu dan mengalih langkah kepada kerja-kerja dakwah dan menyampai risalah Allah sepenuhnya.
Oleh kerana Khaibar merupakan sarang pakatan da-konspirasi, malah merupakan markas gerakan tentera yang menimbulkan kekacauan dan mencetuskan peperangan, maka sudah selayaknya kaum muslimim memberi penumpuan kepadanya.
Apa yang dikatakan Khaibar sebagai pencetus kesemuanya, ini kerana kita tidak boleh melupai usaha-usaha penduduk Khaibar yang menghimpun tenaga Barisan Bersekutu untuk memerangi kaum muslimin, malah mereka juga yang menginisiatifkan kepada Banu Quraidhah supaya mengkhianati orang-orang Islam, dan mereka jugalah yang bertindak membuat hubungan dengan musuh dalam selimut iaitu kaum munafiqin, juga hubungan dengan Ghatafan dan Arab-arab Badwi yang merupakan sayap ke tiga kepada Barisan Bersekutu. Malahan mereka sendiri sudah pun mempersiapkan diri untuk memasuki kancah peperangan, mereka sudah pun memulakan percubaan itu dengan beberapa siri serangan, di antara yang terkutuk ialah mereka merencana untuk membunuh Rasulullah (s.a.w).
Berhadapan dengan usaha jahat mereka, kaum muslimin terpaksa menghantar beberapa unit tentera ke sana, hinggalah kepada tindakan membunuh kepala samseng dan perancang kejahatan seperti Salam bin Abi al-Haqiq dan Asir bin Zarim, namun kewajipan kaum muslimin terhadap golongan Yahudi ini lebih besar dari itu. Ditangguhkan operasi, kerana kekuatan yang lebih besar dan seteru yang lebih biadab lagi iaitu Quraisy sedang mengancam mereka. Oleh itu sebaik sahaja kaum muslimin melangsaikan perkiraan mereka dengan golongan pengkhianat itu kini tiba masanya pula untuk membuat perkiraan dengan golongan Yahudi Khaibar.
PERGERAKAN KE KHAIBAR
Ibnu Ishak mengisahkan katanya: Sekembalinya dari al-Hudaibiah, Rasulullah tinggal di Madinah. Baginda tinggal di sana pada sebahagian dari bulan Zulhijjah dan Muharam. Di akhir bulan Muharam Baginda keluar ke Khaibar.
Ahli tafsir mengatakan: Bahawa Khaibar itu adalah janji yang telah dibuat oleh Allah (s.w.t) di dalam firmanNya yang bermaksud:
Allah menjanjikan kamu rampasan-rampasan yang banyak kamu mengambilnya namun Allah menyegerakan bagi kamu yang ini. ( iaitu perjanjian al-Hudaibiah manakala rampasan-rampasan yang banyak ialah Khaibar).
KEKUATAN TENTERA ISLAM
Dengan sebab kaum munafiqin dan golongan lemah iman tidak menyertai Rasulullah di dalam peperangan al-Hudaibiah maka Allah menyeru Rasul-Nya dengan firman yang bermaksud; "Akan berkata golongan yang tertinggal, apabila kamu menuju kepada barang-barang rampasan untuk memungutnya: Biarkanlah kami mengikuti kamu. Mereka hendak mengubah janji Allah".
- Katakanlah: Sekali-kali kamu tidak berhak. mengikuti kami. Demikianlah Allah telah menetapkan sebelumnya, mereka akan mengatakan: Sebenarnya kamu dengkikan kami, bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.
Rasulullah melantik Siba' bin 'Arfatah al-Ghifari sebagai amir al-Madinah. Tetapi, kata Ibnu Ishak: Namilah bin Abdullah al-Laithi. Namun pendapat yang pertama lebih sahih pada pandangan golongan pengkaji.
Di masa itu Abu Hurairah pun sampai ke Madinah mengiklan keislamannya, di sana beliau sempat dengan Siba' bin Arfatah, Amir al-Madinah di dalam sembahyang' subuhnya. Setelah selesai sembahyang terus beliau menemui Siba', maka beliau pun diberi bekalan, terus beliau ke Khaibar menemui Rasulullah. Rasulullah (s.a.w) pun memberitahu kepada kaum muslimin seterusnya, Rasulullah pun membahagikan saham rampasan bersama-sama dengan sahabatnya yang lain.
KAUM MUNAFIQIN MEMBUAT HUBUNGAN DENGAN KAUM YAHUDI
Kaum munafiqin berusaha untuk kemuslihatan golongan Yahudi, Abdullah bin Ubai selaku kepala munafiqin telah menghantar utusan untuk bertemu dengan kaum Yahudi Khaibar dengan peringatan: "Bahawa Muhammad telah bergerak menuju ke arah kamu, berwaspadalah kerananya, justeru itu janganlah kamu gentar, persenjataan dan bilangan kamu lebih banyak, sedang Muhammad hanya satu kelompok yang kecil sahaja dengan tangan kosong tak Bersenjata, senjata yang mereka miliki sangat sedikit.
Sebaik sahaja penduduk Khaibar mengetahui hal ini, lantas mereka mengutus Kinanah bin Abi al-Haqiq dan Hauzah bin Qais kepada Ghatafan, meminta bantuan dari mereka, kerana Ghatafan adalah sekutu Yahudi yang memusuhi kaum muslimin. Yahudi telah menjanjikan Ghatafan untuk menyerah separuh hasil Khaibar sekiranya mereka dapat mengalahkan kaum muslimin.
PERJALANAN KE KHAIBAR
Dalam perjalanan ke Khaibar, Baginda melalui Jabal Asir, turun ke al-Sahba', turun lagi ke lembah yang dikenali sebagai al-Raji'e, dari situ ke kawasan Ghatafan perjalanannya mengambil masa sehari semalam. Ghatafan sudah pun bersiap untuk bergerak ke Khaibar bagi membantu Yahudi Khaibar, di pertengahan jalan, mereka dengar dari belakang mereka bunyi-bunyi bising, di mana mereka sangka bahawa kaum muslimin sudah menyerang keluarga, harta dan perkampungan mereka. Dengan itu tak jadi mereka ke Khaibar.
Rasulullah menjemput dua orang "Dalil" (penunjuk arah perjalanan) tentera Islam, salah seorang mereka bernama Husail untuk melalui jalan yang terbaik, agar dapat Baginda memasuki Khaibar dari arah utara iaitu dari sebelah negeri al-Syam dan supaya dapat menghalang mereka dari Ghatafan.
Salah seorang daripada mereka berkata: "Daku akan menunjukkan tuan hamba jalan-jalannya", dengan itu beliau membawa Rasulullah bersama tenteranya sampai ke satu persimpangan yang banyak cabang dan arah, kata beliau:
"Wahai Rasulullah setiap jalan ini boleh sampai ke matlamat". Maka Baginda meminta beliau sebutkan nama jalan-jalan itu, kata beliau: "Jalan ini bernama "Hazan" Rasulullah menolak cadangan untuk melalui jalan ini, katanya yang ini namanya "Syasy" pun Rasulullah menolaknya, katanya: Dan yang ini namanya "Hatib" sekali lagi Rasulullah menolaknya, kata Husail: "Tak ada yang lain, cuma tinggal satu lagi". Umar aI-Khattab bertanya: "Apa namanya?" Kata Husail: Yang ini namanya "Marhab" maka Rasulullah pun memilih jalan "Marhab" untuk ke menuju matlamatnya.
Beberapa Peristiwa Di Pertengahan Jalan:
1. Hadith riwayat Salamah bin al-Akwa'yang berkata:
Kami telah keluar bersama Nabi (s.a.w) ke Khaibar, kami berjalan di malam hari, sehingga berkata salah seorang dari peserta yang ramai itu kepada Amir: "Hai Amir, perdengarkan kami sebahagian dari madahmu itu", Amir adalah seorang penyair, beliau pun turun mendendangkan madahnya kepada sekelian peserta:
Tanpa kau Allah, kami ketiadaan hidayah
Tanpa mu Tuhan, tiada kami bersolat, bersedekah
Pohon kemaafan pengorbanan diserah
Selama masih kami bertaqwa
Tetapkan langkah bila musuh bersua
Cucuri kami ketenanganMu Ilahi
Bila kami diherdik tiada apa menggeruni
Disuara laungan salurlah bantuanmu Ilahi
Tanya Rasululllah (s.a.w): "Siapa yang mendendang madah itu?" Jawab yang hadir: "Beliau adalah Amir bin al-Akwa'" Jawab Rasulullah: "Allah mencucuri rahmat ke atasnya". Sampuk salah seorang: "Wajib ke atasnya syurga wahai Nabi Allah, kalau tidak mana rnungkin masih boleh beliau menghibur".
Para sahabat sudah mengetahui tidak pernah Rasulullah memohon rahmat dan beristighfar untuk seseorang kecuali dikurniakan syahadah (mati syahid). Amir telah syahid di Medan Khaibar.
2. Dipertengahan jalan sekalian hadirin bersua dengan sebuah lembah lalu mereka semua mengangkat suara takbir. Kata Rasulullah: "Rendahkan suara mu itu, yang kamu memohon itu bukannya pekak atau tiada bersama, yang kamu pohon dariNya itu Maha Pendengar lagi Maha Dekat".
3. Semasa di al-Sahba' kawasan berhampiran dengan Khaibar Baginda pun bersembahyang Asar, kemudian Rasulullah meminta makanan, apa yang diberikan kepada Baginda hanyalah tepung, maka Rasulullah suruh dimasakkan, setelah itu Rasulullah pun makan dan sekelian yang hadir pun turut makan bersama. Sesudah itu Rasulullah bangun untuk bersolat Maghrib. Baginda masih dalam wudhu' lantas untuk itu Baginda berkumur sahaja, kaum muslimin yang lainpun mencontohi amalan Rasulullah dengan memadai berkumur sahaja. Seterusnya Rasulullah bersolat dengan tidak memperbaharui wudhu', lepas itu Baginda menunai solat Isya' pula.
TENTERA ISLAM KE TEMBOK KHAIBAR
Kaum muslimin tidur di malam akhir sebelum bermulanya peperangan di pagi harinya, berhampiran dengan kota Khaibar, tanpa disedari oleh kaum Yahudi. Kebiasaan Rasulullah apabila hendak memerangi sesuatu kaum sedang suasana masih malam maka Baginda tidak rnenghampiri tempat itu hinggalah di waktu subuh. Kiranya apabila masuk sahaja waktu subuh terus Rasulullah bersembahyang fajar disamar-samar pagi, seluruh tentera pun siap memacu tunggangan masing-masing, penduduk Khaibar keluar di pagi hari untuk ke tempat kerja masing-masing, membawa peralatan mereka, tanpa menyedari kehadiran tentera Islam. Sebaik sahaja mereka sampai ke tempat kerja tiba-tiba mereka melihat tentera Islam terus mereka memekik: "Muhammad, demi Allah Muhammad dengan unit-unit tenteranya. Terus mereka lari ke dalam kota, maka laung Rasulullah: "Allahu Akbar! Musnah Khaibar, Allahu Akbar! musnah Khaibar. Sesungguhnya apabila kami turun ke halaman sesuatu kaum maka nahaslah pagi hari kaum yang diperingatkan itu".
Rasulullah telah memilih satu tempat sebagai khemahnya, namun demikian Khabbab bin al-Munzir telah datang menemui Rasulullah dengan berkata: "Wahai Rasulullah, apakah tempat yang tuan hamba bertapak ini suatu ketetapan langit atau berdasarkan strategi, kata Khabbab lagi: Wahai Rasulullah tempat ini dekat sangat dengan benteng-benteng pertahanan, seluruh tentera Khaibar berada di dalamnya, mereka mengetahui situasi kita sedang kita pula tidak mengetahui situasi mereka. Panah mereka boleh sampai kepada kita dan panah kita tidak sampai kepada mereka. Kita tidak selamat dari angkara mereka, ianya juga terletak di antara pohon-pohon tamar, kawasan rendah dan bumi kosong, kalau Rasulullah menyuruh kita sediakan tempat yang bebas dari semua ini untuk dijadikan markas tentera kita, boleh kita lakukan". Jawab Rasulullah: "Pendapat yang baik adalah seperti mana yang engkau kemukakan". Kemudian Rasulullah berpindah ke tempat lain.
bersambung...insyaAllah..
0 comments:
Post a Comment