Kewajipan memindahkan ilmu pada generasi akan datang..

Friday, June 25, 2010

Sesungguhnya bumi yang saudara-saudara hidup di atasnya ini telah pun diteroka oleh orang-orang yang terdahulu dari saudara supaya tamadun Islam dapat bertapak di atasnya, supaya dikuatkuasakan pelaksanaan peraturan-peraturan hidup yang mereka anuti dan supaya diperintah oleh undang-undang yang dianggap benar dan peraturan-peraturan sistem kerja yang mereka fikirkan baik.

Perlu kita ingat bahawa kekalnya generasi Islam adalah bergantung penuh di atas usaha generasi yang akan datang untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanannya yang kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia dan yang telah membezakan kita dari bangsa-bangsa lain di dunia.

Sudah pasti bahawa setiap orang Islam tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang masa, dengan syarat ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan perbendaharaan tamadun kepada generasi yang akan datang. Pemindahan ini hendaklah sentiasa berjalan dalam setiap pertukaran generasi.


Sekiranya kita tidak sanggup mengekalkan sifat-sifat istimewa tamadun yang membezakan umat kita itu, dan generasi muda kita pula tercekup dengan tamadun asing, katakan tamadun Amerika umpamanya, lalu terpengaruh dengannya dan terbentuk dengan acuannya tidak lagi dengan acuan tamadun Islam, maka lambat laun bumi ini akan bertukar menjadi bumi Amerika.

Ya, generasi Islam akan tinggal di bumi itu, tetapi ianya dibentuk dengan acuan Amerika yang menandakan tamadun Islam tidak lagi kekal di atas bumi yang dikhususkan untuk umat Islam. Itulah yang menandakan kekalnya tamadun lain yang menghapuskan identiti kebangsaan kita atau dengan lebih tepat identiti keislaman kita.

Maka hendaklah saudara-saudara mengamati kedudukan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini dan memahami bagaimana penting peranan masalah ini dalam sejarah. Masalah ini tidaklah merupakan masalah pelajaran semata-mata, bahkan ianya juga menjadi masalah yang mempunyai hubungan langsung dengan adanya identiti Islam dan juga dianggap menjadi masalah hidup mati identiti itu secara terus menerus.

Hidup kita tidak akan kekal sebagai satu umat Islam melainkan apabila kekalnya anak-anak muda kita yang sedang melalui peringkat pembentukan dan persediaan di pusat-pusat pengajian dan pendidikan. Kekal dalam erti berpegang teguh dengan tamadun Islam, mengibarkan benderanya serta menyeru kepadanya.

Dua cara untuk memindahkan perbendaharaan tamadun.
Tujuan ini tidak akan terlaksana melainkan dengan dua jalan.

Jalan pertama: Pelajar-pelajar sendiri hendaklah bergerak melaksanakannya.

Jalan kedua: Pemerintah hendaklah merangka polisi pelajaran dan pendidikan yang boleh mencapai kepada tujuan ini. Sekarang saya terangkan

secara ringkas berhubung dengan kedua-kedua cara tersehut. Jalan yang khusus bagi pelajar Pelajar-pelajar yang sedang berada di universiti-universiti dan fakulti-fakulti tentulah sudah besar, matang, mempunyai kesedaran dan boleh membezakan di antara buruk dan baik. Begitu juga pelajaran yang diterimanya membolehkan mereka mengetahui identiti mereka jika mereka mahu dan juga membolehkan mereka maju ke hadapan jika mereka bergerak.

Segala kerumitan dalam hal ini bukanlah menjadi beban kerajaan sematamata, bahkan menjadi tanggungjawab pelajar-pelajar juga. Pelajar-pelajar adalah muda-muda belaka. Mereka hendaklah menyedari secara sungguh-sungguh bahawa mereka adalah orang Islam yang dijemput untuk hidup di atas muka bumi ini dengan cara hidup yang bercorak Islam. Hal ini memastikan diri mereka bersemarak dengan api cinta untuk mengetahui apakah sistem yang menjamin hidup mati mereka dan apakah sifat-sifat nyata yang membezakan umat Islam, iaitu sifat-sifat yang mesti ada untuk hidup mati identiti Islam.

Prinsip-prinsip utama islam
Hakikat Islam dan prinsipnya ialah akidah tauhid, kerasulan dan beriman dengan hari kiamat. Maka wajiblah bagi setiap orang Islam mengetahui asas yang tiga ini. Patut juga ia mengetahui bahawa prinsip-prinsip ini apabila diresapi oleh perasaan syak atau apabila ia lemah maka ianya tidak boleh hidup lagi di dunia ini di bawah lindungan tamadun Islam.

Apa saja bentuk syak dan kelemahan yang menembusi akidah-akidah ini dan asas-asas hakikat Islam, ianya akan memupuskan tamadun Islam hingga ke akar umbinya. Sesudah itu bumi ini bukan lagi bumi Islam jika sekiranya tamadun Islam tidak ada di situ. Begitu juga tamadun Islam tidak akan kekal di dunia ini jika tidak diteraskan atau disokong oleh tiga prinsip tersebut.

0 comments:

Post a Comment