Dakwah & Akademik

Tuesday, May 18, 2010

da“Ana ada satu soalan untuk antum semua,” Akh Safuan menghentikan sekejap ayatnya dan kemudian menyambung kembali, “Kalau antum berada dalam keadaan untuk memilih antara dakwah dan pelajaran yang mana kedua-duanya sangat penting. Apa pilihan antum?” 

Antara menyampaikan risalah dengan ijazah, yang mana menjadi pilihan? Saya tergamam seketika memikirkan jawapan. Kalau hendak diberikan jawapan skema dan menyejukkan hati memanglah terlalu mudah. 

Terus sahaja kita katakan, lakukan sahaja kedua-duanya. Tetapi sekadar kata tanpa perbuatan, saya rasakan itu amat tidak patut sekali. Terlalu mudah menyebut badan jadi binasa. Terlalu cepat mengambil keputusan, segala perkara serba tidak kena.More...

Seorang demi seorang ahli usrah saya yang lain menjawab, dan saya masih lagi merenung memikirkan jawapan. Mendengar jawapan daripada mereka semua memang sangat sesuai dengan apa yang mereka lakukan. Dan memang dirasakan jawapan itu datang daripada hati mereka.

Saya pula masih lagi berfikir-fikir apakah jawapan yang patut diberikan. 

 Menyampaikan risalah

Telah menjadi tanggungjawab bagi setiap orang muslim itu untuk mengajak ke arah kebaikan dan mencegah segala perkara yang tidak baik. Tidak kira walau apa jua keadaan, belajar atau bekerja atau menganggur atau berkahwin, tanggungjawab ini tetap mesti ditunaikan. 

Dakwah itu wajib, maka ia mesti dilaksanakan. Dakwah sebetulnya bukanlah aktiviti dalam jemaah sahaja. Malah kalau kita berseorangan pun, dakwah tetap mesti dijalankan. Ya, meski kita tidak masuk mana-mana jemaah sekali pun. 

Tetapi bagaimana cara berdakwah yang dianjurkan? Ada orang kata, “Saya bukanlah tahu macam-macam. Apatah lagi nak kata alim.” 

Kita lihat kembali kepada ayat ‘Amar Ma’ruf Nahi Mungkar’. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah keburukan. Kita berdakwah bukan untuk menunjukkan yang diri kita tahu tentang perkara tersebut tetapi adalah untuk mengajak ke arah kebaikan. 

Dan biarlah diri kita berdakwah kerana kemahuan dalam diri untuk mengajak ke arah kebaikan. Bukannya sekadar untuk memberi tahu apa yang kita tahu. Apabila kemahuan dalam diri itulah yang menyuruh kita supaya menyampaikan risalah, maka dari situlah timbulnya istiqamah atau berterusan menyampaikan risalah. 

Bukannya susah untuk mengajak orang berbuat sesuatu perkara. Kalau kita sudah boleh ajak dia pergi makan, cuba kita ringankan mulut ajak solat berjemaah juga. Dan bukannya kita perlu menukar imej kita, teruskan dengan penampilan diri pun boleh juga. Dari situlah kita dapat kepuasan dalam berpesan-pesan. 

Kalaupun apa yang kita ajak itu ditolak, tetapi janganlah mengalah. Bukankah kadang-kadang kalau ajak makan pun kawan kita itu menolak? Berdakwah untuk ‘memberi’ bukannya untuk ‘menerima’.

Soalnya adalah mahu atau tidak mahu. 

Perlukah masuk mana-mana jemaah?

Ada ke patut si ‘mamat’ tu kata aku tak nak menjalankan urusan agama. Kemudian dia salahkan aku belajar pula,” Saf yang baru sahaja masuk ke bilik melepaskan buku-bukunya ke atas meja dengan suara yang marah-marah. 

“Eh, sebab apa dia kata macam tu?” Soal saya kehairanan.

“Sebabnya aku tak mahu masuk usrah dia. Sebab paling utama sebab aku tak nak join jemaah dia. Ada ke patut sebab aku tak nak join jemaah sahaja terus dilabel antijemaah,” jawabnya dalam nada suara yang masih marah.
 
“Erm. Itulah sebabnya kalau kita buat sesuatu perkara janganlah kita terlalu taksub, nanti semua perkara yang orang lain buat dan kita rasa tak kena, maka kita katakan dia salah,” Saya cuba menenangkannya.
 
Ini perkara biasa yang pernah juga timbul kepada saya suatu masa dahulu. Semasa saya masih lagi di sekolah menengah. Saya pernah dilabel begitu kerana saya menolak untuk masuk ke dalam satu jemaah tersebut, tidak mahu pergi tamrin dan sebagainya.
 
Bagi saya berdakwah bukannya dengan pergi tamrin, pakai kopiah, masuk jemaah dan sebagainya. Banyak cara untuk kita menyampaikan risalah. Kalau mahu lebih baik, apa yang kita belajar, itulah yang kita sampaikan. Tetapi kita masukkan unsur-unsur Islam.

Itu lebih baik saya rasakan.
 
Risalah dan Belajar 

Pernah dulu seorang rakan saya yang suka menggunakan ilmu-ilmu sains yang dia belajar untuk dia jadikan satu bahan dalam tazkirahnya. Sangat seronok dan sangat menyenangkan. Kadang-kadang terasa seperti satu bentuk humor pula.

Antaranya yang masih saya ingat, “Hati kita ini seperti spring. Ada had kenyalnya. Kalau terlalu diregangkan mungkin tidak boleh kembali kepada bentuk asal. Begitulah dalam hidup kita.....”

Lebih kurang begitulah antara ayat-ayat yang digunakan dalam tazkirahnya. Sangat menarik dan sangat berkesan. Menyampaikan risalah dengan belajar boleh disatukan!
 
Tetapi tidak ramai rasanya yang mampu melakukan demikian. Ada yang ingin belajar sahaja. Itu tidak mengapa. Ada yang ingin berdakwah sahaja, itu pun tidak menjadi kesalahan bagi saya kalau memang itu yang dia inginkan.

Dan beginilah jawapan saya kepada naqib saya, “Kita lihat apa keadaannya pada waktu itu. Lain keadaan maka lainlah jawapannya. Mungkin saya akan pilih 'ijazah' atau mungkin saya akan pilih ''risalah. Dan mungkin juga saya akan pilih kedua-duanya. Saya perlu lihat di mana kemampuan saya pada masa itu. Dan yang mana lebih utama."

Apa pula pilihan anda?

2 comments:

Insyirah said...

salam, akhi..sebolehnya jadikan "ijazah" sebagai alat untuk menyampaikan "risalah"..semoga terus tsabat..:)

naurah said...

sebenarnya dua2 penting...jika dkwah jd perkara utama mk ijazah adalh bonus sbbnye dlm keadaan masyrkt sekeliling melihat taraf ilmu seseorg...jika seseorg brusaha mendlmi ilmu utk kemaslahatan dkwah dan perjuangan,,,I'aLLAH dlm pelajaran juga dia akn berjaye...cth mcm imam hassan Albanna...

Post a Comment