Biar Amalan Yang Berbicara

Tuesday, May 25, 2010


Mereka tidak banyak berbicara, tetapi hati mereka sentiasa bertutur dengan keikhlasan. Tangan dan kaki mereka, amal dan ibadah mereka, sudah cukup untuk menceritakan siapa mereka. Dalam kitab Hikam karya Ibnu ‘Ataillah al-Sakandariy menyebut,
“Cahaya telah menyelubungi sebelum kata-kata terpacul”.
            Hassan Al-Banna berpesan, “biar sahaja tingkah dan amal kita menceritakan siapa kita” sambil menambah dalam bicara yang lain, “Jangan banyak berpropaganda”. Dalam kalam yang lain, beliau berpesan kepada pejuang Islam agar jangan terleka,
            “Tidak sama orang bercakap dengan orang beramal. Tidak sama orang beramal dengan orang berjihad. Tidak sama orang berjihad dengan orang yang berjihad dengan serius”.
            Junaid al-Baghdadi adalah mahaguru sufi yang tiada tolok banding. Beliau biasa sahaja berendam air mata dan hidup dalam keadaan yang sentiasa dekat dengan Allah. Beliau dengan perasaan takjub dan kagum menceritakan siapa guru beliau, al-Fudhail bin Malik,
            “Amalan guru (al-Fudhail), mendahului kata-katanya”.

Pernah seorang guru ketika mengajar kitab, meninggalkan satu bab dan terus berpindah ke bab yang lain. Lama kemudian baru disentuh bab berkenaan. Apabila ditanya kenapa, beliau menjawab, “Aku tidak akan mengajar satu bab yang belum lagi aku beramal”.
            Lalu, sifat orang mukmin sebagai dinyatakan pujangga ialah,
            “Orang bodoh menyangka mereka diam kerana mereka tidak pandai berbicara, walhal hikmah yang memaksa mereka beriman. Dan orang bodoh menyangka mereka banyak bercakap kerana mereka tukang celoteh, walhal nasihat kerana  Allah mendesak mereka agar berbicara”.
            Alangkah indahnya gagasan pemikiran ini. Mereka tidak mahu banyak berbicara. Mereka lebih suka beramal dan biar amal mereka menceritakan siapa mereka sebenarnya.
            Benar seorang cendekiawan apabila ia menyebut, “sebaik-baik kata ialah yang sedikit namun member petunjuk”. Bahkan Rasulullah SAW diberi kelebihan pendek bicara tetapi melaut maknanya.
            Sesungguhnya nilai hikmah dan kebijaksanaan adalah amat penting dalam memartabatkan Islam ke mata dunia. Supaya dengan itu Islam tidak dipandang dina. Voltaire berkata “Jika pemuka agama bodoh dan lemah pandangan, maka ia menyebabkan musuh semakin berani menghina. Bila pemuka agama jelek dan jahat, maka ia akan memberikan kegelisahan pada diri kita. Sedang jika ia memiliki ilmu dan pengalaman yang matang serta toleran, jauh dari khurafat, maka ia layak untuk kita cintai dan hormati”.
            Amat mendukakan hati saya bila mana hari ini orang agama yang belajar agama, diberi ilmu kefahaman agama, tahu amanah dan tanggungjawab untuk membela agama tetapi hanya tinggal diam bila mana agama diinjak-injak dan hukum Allah dipersenda dan dipermainkan.
Kesimpulan
            Dakwah dengan amal perbuatan lebih baik dan berkesan berbanding kata-kata. Nabi SAW ketika mengajak sahabat melakukan sesuatu, baginda SAW melaksanakannya terlebih dahulu. Peristiwa nasihat Ummu Salamah dalam kes Perjanjian Hudaibiyah boleh dijadikan contoh terbaik.
Rujukan dari buku 50 kata-kata tokoh berpengaruh dan cerita disebaliknya.

0 comments:

Post a Comment