"UJIAN ILAHI SATU IKTIBAR "

Thursday, March 18, 2010


Khutbah Jumaat - 9 Februari 2007

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa, iaitu dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang, mudah-mudahan kita tergolong dikalangan orang yang diberi syafaat dalam kehidupan didunia dan diakhirat kelak. Ingatlah ,keingkaran kita terhadap Allah s.w.t dan rasulnya nescaya akan mengundang kesusahan pada diri kita sendiri.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan dengan berbagai-bagai bencana alam yang dijadikan Allah sebagai ujian bagi manusia yang mahu mengambil iktibar daripadanya. Samada berupa banjir, gempa bumi,ribut taufan, thunami,letupan gunung berapi,wabak penyakit,jerebu,selsema burung,pencemaran alam sekitar, kemarau panjang,kejadian tanah runtuh dan lain-lain lagi, samada ianya berlaku dalam negara kita atau pun ditempat lain, bukan sahaja membunuh jutaan manusia,malah memusnahkan harta benda yang kita miliki, disamping ianya mengundang saat-saat kesedihan dan kesengsaraan yang tidak dapat digambarkan dengan luahan perasaan. Bahkan apa yang menakutkan kita ialah bencana ini datang secara tiba-tiba dan berlaku dengan sekelip mata sahaja, meskipun kedatangannya dapat kita ramalkan , namun kehadirannya mungkin tidak ada yang mampu menghalangnya.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Banyak faktor yang boleh kita kaitkan terjadinya bencana ini. Antara faktor yang tersebar menurut pandangan islam ialah:
* Sebagai ujian daripada Allah s.w.t itu maha berkuasa menentukan segala-galanya.

* Sebagai peringatan terhadap dosa yang telah dilakukan oleh sebilangan manusia agar mereka mengambil iktibar dan
mahasabah diri.

* Faktor penerokaan alam yang gagal diurus dan diselia dengan baik.

Firman Allah s.w.t:
"Sesungguhnya kami (diutuskan) untuk menurunkan atas penduduk disuatu tempat itu azab dari langit, disebabkan mereka melakukan kejahatan (kufur dan maksiat)".
(Al-Ankabut ayat 34)

Memang tidak dapat dinafikan maksiat dan kemungkaran yang berleluasa adalah faktor utama berlakunya sesuatu bencana itu. Ayat tadi menjelaskan bahawa keengganan dan kesombongan manusia yang kufur terhadap perintah Allah hanya akan mengundang azab yang pedih samada didunia mahu pun diakhirat. Azab didunia inilah antara cara yang
ditakdirkan oleh Allah s.w.t untuk memberi Kaffarat kepada umatnya yang ingkar dan fasik. Apa yang menggerunkan ialah bencana yang bakal menimpa kita kerana maksiat berlaku tanpa mengira sesiapa sahaja. Samada yang melakukan ketaatan dan beriman atau pun tidak, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :


"Apabila Allah s.w.t menghukum dengan menurunkan azab kepada sesuatu kaum itu, nescaya kesemuanya akan musnah ditimpa azab tersebut, kemudian kaum yang lain dibangkitkan untuk menggantikan mereka memulakan kehidupan yang baru".

(Riwayat Al-Bahari)

Sidang jumaat yang dirahmati Allah s.w.t,

Sejarah telah membuktikan bencana yang berlaku lantaran kerana kemaksiatan dan penderhakaan terhadap Allah s.w.t. Sedarkah kita, banjir besar yang telah melanda sehingga memusnahkan kaum Nabi Noh a.s suatu ketika dahulu. Kerajaan Saba' yang maju akhirnya musnah dan hancur. Malah sejarah Qarun dan tragis lagi dalam zaman yang serba moden ini seluruh dunia dikejutkan dengan bencana thunami yang dahsyat berlaku pada 26 Disember 2004 yang memusnahkan sebahagian bumi Allah ini, sentiasa segar dalam ingatan kita.


Firman Allah s.w.t:


"Dan apabila sampai tempoh kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan diantara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancurhancurnya".

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Selain daripada maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, segelintir manusia yang mengingkari dan mengenepikan alquran serta undang-undang dalam menguruskan alam sekitar, boleh diambil kira sebagai punca berlakunya musibat ini. Maka tidak hairanlah kerosakan yang berlaku dimuka bumi ini adalah berpunca daripada sikap tamak haluba dan kerakusan manusia itu sendiri. Malah dengan adanya pengetahuan teknologi dan kemajuan sains yang sepatutnya memberi manfaat kepada manusia, tetapi yang berlaku adalah digunakan untuk sebaliknya. Firman Allah s.w.t:
"Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana didarat dan dilautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
(Ar-Rom ayat 41)

Kesan dari perkara ini, telah menyebabkan berlakunya kerosakan fizikal bentuk muka bumi dan tidak seimbangnya proses eko-sistem terhadap kitaran alam ini yang akhirnya membawa kepada kesusahan terhadap manusia itu sendiri. Contohnya yang paling mudah iaitu mengenai sumber air yang telah terjejas akibat penerokaan kawasan tadahan hujan
dan pencemaran sungai itu sendiri.Bayangkan jika air yang bersih sukar diperolehi,bukan sahaja manusia sukar menjalankan aktiviti harian, malah kita sebagai umat islam sudah tentu tidak akan berada dalam situasi yang boleh melakukan ibadat dengan selesa. Jika musibat ini terjadi berterusan , maka sudah tentulah penyesalannya sudah tidak berguna lagi.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bermahasabah tentang ujian Allah dan musibat yang telah berlaku. Bencana dan musibat sewajarnya memberi pengajaran dan keinsafan kepada kita semua. Keingkaran kepada Allah adalah perbuatan yang keji dan memusnahkan alam sekitar adalah perbuatan tanpa pertimbangan yang waras. Maksiat hanya dilakukan oleh
orang-orang yang sombong dan bongkak,dengan sikap sombong dan bongkak itulah akan membawa kesusahan dalam kehidupan seseorang samada didunia mahu pun diakhirat.

Ingatlah, bahawa bencana dan musibat adalah peringatan dan pengajaran yang perlu diambil iktibar, supaya kita kembali kepada jalan Allah. Bersama-samalah kita mencari keredhaan Allah, agar semua perkara yang berlaku dapat kita selesaikan dengan keredhaannya jua, kerana semuanya itu adalah peringatan dan pengajaran,tetapi asasnya ia adalah ujian dalam keimanan. Kebinasaanlah bagi orang-orang yang zalim, sebagaimana yang dinyatakan Allah s.w.t dalam firmannya.

Ya-Allah, kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, keatas negeri kami, Negeri Selangor Darul Ehsan.Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan,perpecahan,fitnah-memfitnah dan bencana alam.Semoga dengan demikian negeri selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.

http://www.jais.gov.my - Jabatan Agama Islam Selangor Powered by Mambo Generated:4 September, 2007, 22:19

0 comments:

Post a Comment