MY BLOG

Friday, December 11, 2009

Assalamua’laikum wbt.


[30.8] Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Bila mana suasana yang dipaksa mencorakkan diri dan bukannya kita yang mencorakkan suasana banyak perkara yang menjadi korban, termasuklah laman blog yang sentiasa saya rindu untuk sama-sama berkongsi pahit manis perjuangan hidup bersama dengan pembaca budiman sekalian. Selepas balik ke kampong minggu lalu untuk sama – sama merayakan eiduladha bersama keluarga, sanak saudara dan sahabat handai, banyak pengalaman menarik yang saya kutip tapi malangnya tidak punya kesempatan untuk menaip dan berkongsi dengan pembaca.

Alhamdulillah pada kali ini Allah masih lagi mengurniakan ruang dan peluang untuk saya update blog saya kembali. Mungkin perkongsian saya tidak sehebat ilmu dan pengalaman saifulislam.com tetapi saya cuba menghargai kehidupan singkat saya bersama teman-teman bloggers lain untuk kita sama-sama mengambil pengajaran dan iktibar daripadanya inshaAllah. Mungkin ada orang menggunakan blog untuk menyampaikan ilmu-ilmu agama atau info-info semasa, ada juga yang menggunakan untuk berbisnes, ada juga untuk berkongsi pengalaman hidup, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, bila membelek kembali lipatan sejarah kebelakang mengenai blog saya, saya teringat antara objektif pertama blog abusafuan dibangunkan adalah untuk menjadi antara suara-suara kecil mengkritik serangan rejim zionis ke atas Ghaza selama 22 hari pada awal tahun ini, disamping menjadi inspirasi kepada saya yang berada jauh dari tanah suci al-quds untuk sama-sama berjuang membela nasib umat Islam walaupun mungkin hanya dengan mata pena. Sekurang-kurangnya kita menyahut sabda nabi saw yang bermaksud:

Sesiapa yang tidak menghiraukan urusan umat Islam maka dia bukanlah daripada mereka.

Namun biarpun serangan rejim zionis ke atas Ghaza telah berlalu tetapi perjuangan mempertahankan dan merampas kembali al-quds masih tetap berterusan sehingga bertemu antara 2 jalan iaitu syahid ataupun kemenangan. Begitulah juga dengan laman blog saya biarpun artikel mengenai isu-isu Palestin jarang saya keluarkan tetapi objektif pertama penubuhan blog saya masih tetap tidak berubah. Mudah cerita, apa saja yang membawa kebaikan kepada umat dan tidak melanggar syariat serta niat kita lurus kerana Allah inshaAllah ianya akan diangkat sebagai ibadah juga. Diharapkan para bloggers termasuklah diri saya sendiri dapat menjadikan penulisan di dalam blog masing-masing sebagai ibadah kepada Allah.



Dasawarsa ini, perkembangan teknologi yang menakjubkan menjadikan kita sentiasa “miss management “ dan suka untuk saya nyatakan persetujuan satu kenyataan yang telah dan sedang berlaku iaitu ‘sejarah ke depan akan digerakkan oleh pertentangan antara kebebasan manusia dan kemajuan teknologi yang sebenarnya kita ciptakan untuk mengatasi kesulitan, kelemahan, dan ketidakmampuan manusia sekaligus untuk memudahkan hidup”. Malangnya teknologi ini kekadang boleh menjadi api yang sentiasa memakan masa kita. Justeru, apa yang nak saya nyatakan adalah disiplin diri, pengurusan hidup dan masa yang baik adalah sangat penting kepada kita khususnya para pendokong perjuangan Islam. Saya berpesan kepada diri saya sendiri gunakanlah segala kelebihan yang ada ini untuk membantu gerak kerja Islam mengikut masa, ruang dan peluang yang kita ada. Begitulah juga dengan blog ini.

Baru-baru ini saya ditanya oleh orang bukan Islam, beliau cakap kepada saya “saudara banyak bercakap tentang agama? Dan saya bertanya beliau semula kenapa awak tanya macam tu? Dan beliau hanya tinggal diam sahaja..saya tidak pasti adakah bercerita tentang agama sudah menjadi kesalahan dalam negara bersifat liberalisasi seperti Malaysia sekarang ini? Atau pun mungkin soalannya bermaksud kenapa saudara selalu bercerita tentang agama? Kalau begitulah maksud soalan kawan saya itu, apa yang boleh saya katakan adalah perumpamaannya begini “ sepertimana ikan sentiasa berhajat kepada air, dan antara yang pasti bilamana ikan tidak mendapat air adalah ia akan mati, begitulah saya bahkan semua manusia yang bergelar hamba yang sentiasa berhajat kepada Allah, iaitu Tuhan kita dan hanya dengan jalan agama inilah yang boleh membawa saya kepada Tuhan, masakan saya tidak perlu berhajat kepada agama? Jadi, jelaslah tidak boleh tidak saya memerlukan agama untuk membawa saya kepada Tuhan, dan agama yang diredhai oleh Tuhan saya Allah adalah agama Islam.

Selalu saja menghairankan saya apabila saya mendengar kenyataan orang yang tidak mempercayai mana-mana agama (lebih bersifat free thinker) bahkan juga menganggap semua agama adalah sama, walhal agama merupakan suatu cara hidup dan cara hidup terbaik bahkan diredhai adalah cara hidup Islam. Justeru, bagaimana mungkin ada manusia yang sangat terbatas keupayaannya boleh menafikan tuntutan dan fitrah hidup yakni menjadikan agama Islam sebagai cara hidup mereka? Sekali lagi terpalit tanggungjawab ini ke muka para duat. Membawa manusia mengenal Allah dan mengajak manusia mengambil Islam sebagai cara hidup mereka bukan suatu tugas yang mudah. Jadi, bekalan iman yang sejahtera, ilmu yang mencukupi sangat diperlukan dalam menjayakan misi dakwah ini. Mungkin isi dan kenyataan seumpama ini sudah biasa kita dengar dan baca tetapi pengaplikasiannya dalam kehidupan normal selalu saja kita abaikan.

Saya menyeru kepada diri saya agar thabat lah menjayakan misi-misi dakwah dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk Islam dan umat.

Sekian.

0 comments:

Post a Comment