Hubungan Nuzul Quran, Lailatul Qadar dan politik negara

Saturday, August 21, 2010

Bulan Ramadan dipilih Tuhan sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah turunnya al-Quran pada suatu malam dalam bulan Ramadan.


"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." (maksud Al-Baqarah: 185)

Sebab itu juga kita digalakkan membaca, tadarus al-Quran pada bulan Ramadan sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suciNya diturunkan.

[Sebenarnya, kita juga digalakkan bertadarus pada luar bulan Ramadan juga. Tapi pada bulan ini kita makin digalakkan berbuat demikian, apatah lagi, bulan Ramadan itu dikenang sebagai bulan turunnya al-Quran.]

Manakala dalam bulan Ramadan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Malam Munajat 1,000 Yaasin pada 22 Ogos

KOTA BHARU, 20 Ogos: Qaryah Ramadhan di bandar raya ini akan terus mencatat sejarah pada 22 Ogos bersamaan 12 Ramadhan apabila acara Malam Munajat 1,000 Yaasin akan diadakan di situ.

Majlis itu akan dirasmikan oleh Datuk Takiyuddin Hassan (gambar), Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan.

Acara akan bermula seperti biasa dengan solat Isyak dan tarawih yang diimamkan oleh dua orang Imam Qaryah Ramadhan yang didatangkan khas dari Mesir oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) iaitu Syeikh Rejab Saad Yaasin dan Syeikh Ahmad Ramadhan Ayyub Muosa.

Menurut Ustaz Ropien Hassan dari Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Malam Munajat Yaasin itu yang merupakan cetusan idea daripada Takiyuddin Hassan akan dimulakan sebaik sahaja selesai solat tarawih dan pada malam tersebut tazkirah antara dua salam ditiadakan sebagaimana biasa.