PEPERANGAN AL-KHAIBAR

Sunday, June 27, 2010

Khaibar adalah sebuah kota besar dikelilingi tembok berbenteng dan taman-taman, jaraknya ke Madinah enam puluh (60) atau lapan puluh (80) batu di sebelah utara, tapi sekarang sebagai sebuah kampung dengan cuacanya yang kurang baik untuk kesihatan.
 
Faktor kejadian:
Setelah Rasulullah terasa aman terhadap salah satu dari tiga sayap terkuat Barisan Bersekutu dan terasa selamat sepenuhnya, khusus selepas perjanjian perdamaian al-Hudaibiah, kini Rasulullah mengatur perkiraannya dengan dua sayap yang masih bertenaga: Kaum Yahudi dan Qabilah-qabilah Najdi, agar perkiraan ini akan membawa kepada keamanan dan kesejahteraan serantau yang menyeluruh, seterusnya orang Islam boleh cuci tangan dari peperangan berdarah yang berterusan itu dan mengalih langkah kepada kerja-kerja dakwah dan menyampai risalah Allah sepenuhnya.
Oleh kerana Khaibar merupakan sarang pakatan da-konspirasi, malah merupakan markas gerakan tentera yang menimbulkan kekacauan dan mencetuskan peperangan, maka sudah selayaknya kaum muslimim memberi penumpuan kepadanya.


Apa yang dikatakan Khaibar sebagai pencetus kesemuanya, ini kerana kita tidak boleh melupai usaha-usaha penduduk Khaibar yang menghimpun tenaga Barisan Bersekutu untuk memerangi kaum muslimin, malah mereka juga yang menginisiatifkan kepada Banu Quraidhah supaya mengkhianati orang-orang Islam, dan mereka jugalah yang bertindak membuat hubungan dengan musuh dalam selimut iaitu kaum munafiqin, juga hubungan dengan Ghatafan dan Arab-arab Badwi yang merupakan sayap ke tiga kepada Barisan Bersekutu. Malahan mereka sendiri sudah pun mempersiapkan diri untuk memasuki kancah peperangan, mereka sudah pun memulakan percubaan itu dengan beberapa siri serangan, di antara yang terkutuk ialah mereka merencana untuk membunuh Rasulullah (s.a.w).
 

Kewajipan memindahkan ilmu pada generasi akan datang..

Friday, June 25, 2010

Sesungguhnya bumi yang saudara-saudara hidup di atasnya ini telah pun diteroka oleh orang-orang yang terdahulu dari saudara supaya tamadun Islam dapat bertapak di atasnya, supaya dikuatkuasakan pelaksanaan peraturan-peraturan hidup yang mereka anuti dan supaya diperintah oleh undang-undang yang dianggap benar dan peraturan-peraturan sistem kerja yang mereka fikirkan baik.

Perlu kita ingat bahawa kekalnya generasi Islam adalah bergantung penuh di atas usaha generasi yang akan datang untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanannya yang kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia dan yang telah membezakan kita dari bangsa-bangsa lain di dunia.

Sudah pasti bahawa setiap orang Islam tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang masa, dengan syarat ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan perbendaharaan tamadun kepada generasi yang akan datang. Pemindahan ini hendaklah sentiasa berjalan dalam setiap pertukaran generasi.

Peranan Pelajar ~Al-Maududi~

Dengan nama Allah yang pemurah lagi mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, dan sejahtera ke atas seluruh hambaNya yang terpilih.

Sebelum saya masuk kepada tajuk yang hendak saya sampaikan kepada saudara-saudara, sukalah saya melahirkan perasaan gembira yang tersemat di hati saya. Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam, bahkan di setengah-setengah dunia bukan Islam, wujudnya kumpulan pemuda Islam yang beriman penuh dengan 'akidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Gejala ini patut sangatlah mendapat sanjungan, penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu akan tanggungjawab.