Kekuatan prinsip Islam dalam memperbaiki umat

Monday, July 19, 2010

Dengan hanya menyematkan sifat patuh tadi ke dalam hati mereka maka bolehlah saudara-saudara menjadikan mereka golongan orang yang melaksanakan keadilan, kebenaran dan menjadikan mereka menjauhi segala kerja yang haram di dunia dengan dorongan takwa kepada Allah dan dengan perasaan bertanggungjawab di hadapan Allah pada hari kiamat kelak, juga menjadikan mereka golongan yang senang hati dalam memberikan segala pengorbanan yang mulia dengan dorongan patuh kepada Allah, Rasul dan agamanya.

Sesungguhnya orang-orang bukan Islam itu mempunyai nilai-nilai yang berbeza dan tempat patuh yang berlainan yang dijadikan asas akhlak mereka. Jadi, misalnya jika saudara-saudara mahu menanamkan perasaan kasih kepada punca-punca patuh kepada yang lain daripada Allah, Rasul dan agamanya di kalangan umat Islam, maka saudara-saudara memerlukan masa selama lima puluh tahun untuk menjayakan proses ini, iaitu untuk menukarkan umat Islam itu kepada yang bukan Islam.

Dan saudara-saudara juga perlu kepada lima puluh tahun yang lain lagi jika saudara-saudara mahu menjadikan mereka satu bangsa barat yang sempurna. Sebelum tempoh ini, saudara-saudara tidak berupaya menanamkan di kalangan mereka akhlak kebangsaan yang saudara-saudara dapati dan gemari pada bangsa-bangsa barat.

Tetapi jika saudara-saudara mahu menegakkan pembentukan umat Islam ini di atas nilai-nilai akhlak Islam, maka saudara-saudara boleh memulakan untuk itu dari sekarang juga dan saudara-saudara akan berjaya dalam tempoh beberapa tahun saja, kerana akidah-akidah Islam yang tersimpul pada tauhid kerasulan dan percaya kepada hari akhirat itu telah pun diwarisi dari ibubapa mereka dan akidah-akidah pula telah menjadi darah daging dalam suasana sekeliling masyarakat Islam dan tradisi kebangsaan orang-orang Islam.

Benih-benih akidah yang telah berakar umbi di bumi Islam sejak beberapa lama ini jika saudara-saudara siram dengan sedikit air pun nescaya akan tumbuh subur dan berbuah. Sesungguhnya penjajah, sekali-kali tidak pernah mengambil berat tentang tamadun dan akhlak umat islam, bahkan mereka menganggap bahawa keadaan umat Islam yang ikhlas kepada Islam serta bersifat dengan akhlak Islam itu akan melahirkan bahaya kepada mereka.

Oleh sebab itulah mereka telah mempraktikkan di negeri-negeri Islam yang dijajahinya sistem pelajaran dan pendidikan yang mempunyai keistimewaan menggoncangkan tapak iman di hati-hati kita. Sistem itu juga mempunyai keistimewaan bagi menimbulkan kekaburan di sekitar akidah Islam, memperkecilkan tamadun dan menghina-hinakannya di hadapan mata kita. Perasaan tamak politik penjajahlah yang memaksa mereka memesongkan kita dari ugama Islam dengan sesungguh hati.

Tetapi jika kita amalkan sistem pelajaran dan pendidikan penjajah sesudah kita bebas dari belenggu pengabdiannya dan sesudah kita sanggup berdikari, maka itu bererti kita bersungguh-sungguh mahu membunuh diri.

(Al-Maududi) ~ Peranan Pelajar

0 comments:

Post a Comment