UKM 4: Najib patut terima keputusan mahkamah

Thursday, November 3, 2011

KUALA LUMPUR, 2 Nov: Datuk Seri Najib Razak perlu menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan pihak universiti tidak berhak mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar kerana mencabul hak kebebasan bersuara mereka.


Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah itu yang mengatakan Seksyen 15 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sebagai tidak sah serta melanggar Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu dirayu kerana ia menjadi ujian awal kepada Perdana Menteri yang telah mengaku mahu melaksanakan transformasi politik dan pendemokrasian negara, lapor Roketkini.

Beliau memuji keberanian Hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Yunus dan Linton Albert yang menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluruhan Perlembagaan.

Menurutnya, keputusan bersejarah itu penting dan tepat pada masanyanya apabila demokrasi dan hak asasi di Malaysia telah sekali lagi diserang oleh tokoh-tokoh seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor dengan kenyataan-kenyataan bahaya mereka yang berbau konspirasi.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada Najib dan kabinetnya bersedia untuk melangkah ke depan dengan menyokong keputusan majoriti Mahkamah Rayuan, dengan menunjukkan semangat dan minda pendemokrasian serta transformasi politik,” katanya.

Pada 28 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak saman pemula yang dikemukakan oleh empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mencabar tindakan tata tertib terhadap mereka kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April tahun lalu.

Empat pelajar tersebut adalah Hilman Idham, Ismail Aminuddhin, Azlin Shafina Adzha dan Wong King Chaì.

Mahkamah Rayuan pada Isnin lalu menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 September tahun lalu yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) tidak melanggar Perlembagaan.

Seksyen 15 (5) AUKU menetapkan bahawa pelajar universiti tidak dibenarkan menyokong atau membangkang mana-mana parti politik atau apa-apa pertubuhan yang ditetapkan oleh Menteri “sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti itu”.

Kit Siang melontarkan penyataan kepada Najib dan kabinetnya sama ada mereka bersetuju dengan keputusan hakim-hakim Mahkamah Rayuan atau mahu melanggar kata-kata pemimpin kerajaan sendiri yang inginkan perubahan politik yang lebih terbuka dan bebas.

Menurutnya, Najib dan kabinetnya perlu menilai keputusan Hakim Hishamudin Yunus yang menyatakan: “universiti perlu menjadi tempat memupuk reformis dan pemikir, dan bukannya institusi yang melahirkan pelajar yang dilatih menjadi robot”.

Beliau juga mahu pemimpin kerajaan Barisan Nasional menghayati keputusan Hakim Linton Albert yang menyatakan bahawa Seksyen 15 (5) sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana pelajar university terpaksa berdepan dengan kemungkinan dipecat dari pengajian semata-mata kerana hadir dalam kempen pilihan raya kecil. – Roketkini.com



 

0 comments:

Post a Comment