Jadikan laporan audit KPI tolak BN

Thursday, October 27, 2011

Harakahdaily KUALA LUMPUR, 26 Okt: Dewan Pemuda PAS menggesa rakyat di negara ini menjadikan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk menilai kecekapan dan keberkesanan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.


Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, daripada Laporan Ketua Audit Negara 2011, didapati terdapat banyak kelemahan, kepincangan, ketirisan serta kepincangan dalam projek-projek pelbagai kementerian serta agensi kerajaan.

"Di sebalik pembentangan Bajet ‘gula-gula’ pilihan raya 2012, yang dianggap ramai sebagai bajet rakyat kerana banyak peruntukan 'one off' untuk rakyat, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menceritakan segala-galanya.

"Tidak hairanlah, Laporan Ketua Audit Negara 2010 gagal dibentangkan pada masa yang ditetapkan iaitu semasa Bajet 2011 tempo hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan bahawa RM 160.7 juta yang telah diululuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk membina 300 makmal komputer, namun hanya 2 buah makmal sahaja yang siap sementara peralatan ICT yang dibekalkan sejak 3 tahun lepas masih belum dapat digunakan.

Kementerian Sumber Asli dan alam Sekitar pula mencatatkan pembelian barangan yang jauh lebih mahal dari harga sebenar.

Antaranya komputer riba dan pencetak dibeli dengan harga RM 11,845 berbanding pasaran RM3,428 iaitu 246% lebih mahal, LCD TV dan DVD Player dengan RM 16,100 berbanding pasaran RM 2,182 iaitu 638% lebih mahal, Radar X-Band dengan RM 47,725 berbanding pasaran RM 8,255 iaitu 478% lebih mahal, Bushnell Binocular dengan RM 56,350 berbanding pasaran RM 2,827, 1893% lebih mahal, Marine Binocular dengan RM 56,350 berbanding pasaran RM 1,940, 2805 % lebih mahal, Walkie-Talkie dengan RM 4,324 berbanding pasaran RM,1561, 177% lebih mahal.

Majlis Sukan Negara pula mencatat pembelian boros dengan membeli 23 ekor kuda baka khas untuk sebuah pertandingan dengan harga RM 5.66 juta.

Pembelian ini dibuat secara runding terus tanpa mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

Namun, 18 ekor darinya tidak melepasi piawaian Federation Equestre International, hanya lima ekor sahaja lulus untuk menyertai pertandingan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula mencatat pengurusan yang tidak telus dan tidak efektif kerana tidak membayar RM 110.67 juta insentif kepada 73 291 orang petani.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pula gagal mengurus secara efektif kerana peralatan yang berjumlah RM 64.69 juta masih terbiar dan tidak dapat digunakan sehingga kini.

Akibat itu, sejumlah RM 0.44 juta lagi dibazirkan untuk kawal selia dan insurans bagi menyimpan peralatan tersebut.

Selain itu, terdapat 8 Syarikat GLC yang mengalami penurunan pendapatan selama tiga tahun berturut-turut. Malah, ada syarikat GLC yang mengalami kerugian seperti Syarikat Prasarana Negara, Kertapi Tanah Melayu, Assest Global Network dan Indah Water Konsortium. Jumlah kerugian keseluruhan ialah RM 630.45 Juta.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata kesemua fakta yang diberikan hanya sebahagian daripada keseluruhan kelemahan dan kepincangan kerajaan dan ternyata saban tahun negara ditadbir oleh pemimpin yang tidak cekap, tidak amanah, efisyen dan konsisten.

"Amalan boros, membazir sudah seakan sebati dalam diri pemimpin negara hari ini. Harta rakyat seumpama harta ‘mak bapak’ mereka yang boleh diagih sesuka hati mereka.

"Cukuplah negara ditadbir oleh mereka yang kurang berkemampuan, dan berikan ruang pula buat Pakatan Rakyat mentadbir negara," tegasnya.

0 comments:

Post a Comment