Dekat Di Mata, Dekat Di Hati

Tuesday, October 6, 2009

Assalamua’laikum



‘To know You is To Love You’ antara salah satu tajuk lagu nasyid yang dinyanyikan oleh saudara Suhaimi dalam album Kias Cinta, lagunya telah menarik hati saya untuk menulis artikel pada malam ini. Tapi bukanlah maksud saya untuk menulis makna tersirat atau tersurat tentang lagu tersebut tetapi hanya cuba untuk melontarkan pandangan berdasarkan pembacaan-pembacaan saya untuk dikaitkan dengan peristiwa semasa yang terjadi mutakhir ini.

Hari ini kita melihat ramai manusia yang telah lupa asal usulnya.. asal usul sebagai hamba, hamba yang datang dari Pencipta yakni Allah Tuhan yang maha Esa dan hamba yang akan kembali semula kepada Tuhannya. Bermula hanya dengan setitis mani yang hanyir kalau jatuh ke tanah ayam tak patuk itik tak sudu pun. Tiba-tiba, apabila dikurniakan akal yang sihat dan mampu berfikir secara waras kononnya, makhluk yang bergelar manusia ini boleh menjadi musuh Allah yang tegar melakukan maksiat kepada Tuhannya..Nau’zubillah

Allah terus dan terus saja menzahirkan sifatNya yang maha penyayang dan maha kuasa kepada hamba-hambaNya. Walaupun hamba-hambaNya sentiasa lupa dan tidak mahu mengingatiNya. Namun Dia sentiasa saja mahu “berbicara” dengan hamba2Nya baik manusia, haiwan, angin, air, tumbuhan dan sebagainya dalam pelbagai bentuk suasana “bicara” sama ada hambaNya itu sedar ataupun tidak sedar, tidak lain dan tidak bukan supaya hambaNya sentiasa mengingatiNya. Jadi Sentiasalah mengingatiNya.. Peristiwa yang melanda Asean sekarang ini seperti taufan Ketsana di Filipina dan Vietnam serta gempa bumi di Jawa Barat Indonesia menunjukkan sifat maha penyayang Nya kah atau sifat maha Kuasa Nya kah?

Jawapannya terpulang pada kita bagaimana kita memandangnya tetapi bagi orang beriman mereka akan sentiasa mengambil ibrah daripada apa saja yang berlaku. Sama ada dalam keadaan susah atau pun senang, bahagia atau derita, sengsara atau gembira semuanya itu datang dari Allah untuk mengingatkan hamba-hambaNya supaya jangan lupakanNya. Bagaimana kita bias mengingatiNya kalau Dia pun kita tidak kenal? Bagaimana pula untuk mengenaliNya?

Teringat saya kepada Kata Ustaz Al-Gazzali dalam buku Aqidah Muslim menjelaskan ketidak mampuan manusia ini, “Demikianlah, dan yang menyebabkan akal kita tidak mampu untuk mengetahui itu ialah dua hal! Pertama kerana tersembunyinya dirinya, dan kerana gelapnya. Dan ini tidak perlu diterangkan. Dan yang kedua kerana teamat jelasnya. Sebagai contoh

Binatang Kalong itu dapat melihat di waktu malam, dan tidak dapat melihat di waktu siang. Sebabnya bukanlah kerana siang itu gelap dan tersembunyi, tetapi adalah kerana teramat terangnya. Penglihatan kalong itu lemah, hingga silau ditimpa cahaya matahari. Maka kerana amat terangnya waktu siang dan lemahnya alat penglihatannya, terhalanglah penglihatan itu, hingga ia tidak dapat melihat sesuatu, kecuali bila cahaya itu remang-remang dan tidak terlalu keras atau terik. Demikianlah pula otak kita amat lemah, dan keindahan kudrat Ilahi demikian terang dan cemerlang, dan teramat luas serta meliputi, hingga tidak satu atom pun di kerajaan langit dan bumi yang menyaksikan wujudNya yang amat sempurna, Maka teramat terang serta jelas itulah yang menjadi sebab tersembunyiNya, dan Maha Sucilah Ia yang terhalang penampilanNya oleh sinar cahayaNya dan tertutup dari pandangan dan penglihatan kehadiranNya. Jadi tepuk dada Tanya Iman masing-masing sejauh manakah kita rasa berTuhan di dalam hati dan kehidupan ini. Sama-samalah kita belajar mencari hikmahNya dalam setiap apa yang berlaku.

Sedarkah kita? Mulianya kita adalah kerana Islam yang ada pada kita. Islam yang mengajar kita hidup bertuhan, kita adalah suatu kaum yang Allah muliakan kita dengan Islam, selama mana kita mencari kemuliaan selain apa yang dimuliakan oleh Allah, maka kita akan dihina oleh Allah. Wal’iyazubillah, Justeru kepentingan gabungan kekuatan Iman dan Ilmu sangat dominan bagi melahirkan manusia unggul yang merasa dirinya sentiasa bertuhan dalam erti kata lain mampu menimplimentasikan akhlah seorang muslim yang sejati sama ada dalam khalayak umum atau pun ketika bersendirian serta pada zahirnya atau dalam batinnya. Kita malu bila mana seorang intelektual barat yang baru memeluk Islam berkata “ syukur kepada Allah kerana memperkenalkan aku kepada Islam dulu sebelum memperkenalkan ku kepada Muslim” Bukanlah niatnya untuk menghina muslim tapi bagi mereka yang makan cili sudah semestinya akan terasa pedasnya. Ironiknya realiti yang berlaku kepada umat Islam yang ada pada hari ini tidak sama dengan ajaran yang dianjurkan dalam agama Islam itu sendiri.

Pernahkah saudara dengar orang berkata ‘aku melihat Islam di Eropah sedangkan muslim ramai di tanah Arab’? Sudah tentu pernah kan, terutamanya bagi mereka yang pernah berkunjung ke negara Eropah. Islam adalah untuk semua bukan hanya untuk bangsa Arab ataupun bangsa Melayu sahaja. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 54 yang bermaksud:

[5.54] Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Begitulah juga kaum Arab mahupun kaum Melayu jika mereka tidak inginkan Islam maka Allah akan gantikannya dengan kaum yang lain seperti mana maksud ayat di atas.

Kata Albert Einstein “ Sesungguhnya inti kesedaran beragama pada pokok dasarnya ialah agar kita mengetahui bahawa Zat yang tak ada jalan buat mengetahui hakikatNya itu benar-benar ada. Dan Ia menampakkan diriNya dengan bukti-bukti hikmat yang paling tinggi dan cahaya keindahan yang paling agung. Dan saya tak dapat membayangkan betapa seorang yang benar-benar sarjana tidak mengetahui bahawa prinsip-prinsip yang betul tentang alam wujud ini dibina atas dasar hikmat yang menjadikannya dapat difahami oleh akal. Maka ilmu tanpa Iman adalah seperti berjalannya orang pincang (cacat), sedangkan Iman tanpa Ilmu adalah seperti meraba-rabanya orang yang buta.

Justeru, Dekat Di Mata itu bermaksud bila mana kita mampu melihat dalil wujudnya Allah yakni adanya alam ini dengan pancaindera yang dipandu iman yang sejahtera sehingga sampai kepada mata hati yang akan membenarkan dan membesarkan Allah dan demikianlah pula yang akan menerbitkan makna Dekat Di Hati yakni hati yang sentiasa mengingati Allah dan merasa dirinya bertuhan.

Sekian
(abusafuan.blogspot.com)

0 comments:

Post a Comment